
KUCHING: Aksi santai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menaiki jet ski di Sungai Sarawak pada hari terakhir Regata Sarawak 2025 hari ini mencuri tumpuan ribuan penonton sekali gus menutup tirai pesta air berprestij itu dengan penuh meriah.
Menerusi aksi santai namun penuh semangat itu, beliau mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan penonton yang memenuhi sepanjang Tebingan Sungai Kuching yang hadir bagi menyaksikan perlumbaan perahu bidar paling berprestij di Sarawak.
Kemeriahan bertambah apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan mencemar duli menyaksikan acara berkenaan serta memberikan tepukan ketika Premier Sarawak melalui kawasan pentas tetamu kehormat.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang menyaksikan kemeriahan Regata Sarawak lebih-lebih lagi pada acara kemuncak apabila 16 perahu bidar berentap bagi merebut gelaran Raja Sungai.
Aksi bersahaja Premier Sarawak itu bukan sahaja menceriakan suasana, malah mencerminkan semangat beliau yang sentiasa dekat dengan rakyat serta menyokong penganjuran acara warisan seperti Regata Sarawak yang menjadi lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum di wilayah ini.
-UKAS