SKUAD Kuching City FC meneruskan perlawanan persahabatan siri Jelajah Sarawak di lokasi seterusnya yang akan berlangsung di Padang Turf Kelab Kidurong Bintulu, petang esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, berkata aksi persahabatan siri Jelajah Sarawak akan berada di lokasi kelima iaitu Bandar Bintulu selepas mengadakan beberapa siri persahabatan di Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Mukah sebelum ini.
“Aksi perlawanan persahabatan antara Kuching City FC menentang Pilihan Bintulu dilangsungkan di Padang Turf Kelab Kidurong Bintulu, jam 3.30 petang Jumaat ini (esok).
“Ia adalah lokasi kelima dikunjungi selepas memulakan aksi perlawanan persahabatan dengan pasukan pilihan Sri Aman, sebelum meneruskan ke lokasi berikutnya di Sarikei, Sibu dan Mukah,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Sementara itu, dalam aksi persahabatan skuad The City Boys menentang skuad 25 tahun Mukah petang semalam berkesudahan dengan jaringan 3-1.
Pemain muda Kuching City FC, Amirul Iqmal Bolhi membuka tirai jaringan sebelum Mukah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh Mohd Hazazi Hasri.
Manakala dua lagi gol The City Boy telah dijaringkan oleh Amir Amri Salleh sebelum Joseph Kalang Tie menyumbat gol bagi mengesahkan kemenangan mereka.
“Skuad muda kita telah berjaya memberikan tentangan yang segit kepada pasukan Liga Premier 2021 itu di sepanjang saingan.
“Syabas kepada pemain yang diamanahkan kerana telah menunjukkan semangat melawan yang tinggi sehingga pergerakan pemain Kuching City FC terutamanya separuh masa pertama terbatas,” kata jurulatih skuad 25 tahun Mukah, Jamal Wasli.
“Begitupun, separuh masa kedua pasukan kita telah merombak semula percaturan dengan menukarkan beberapa pemain untuk memberikan peluang mereka menunjukkan aksi dan bakat mereka.
“Menang atau kalah, itu bukanlah misi kita, sebaliknya peluang serta pengalaman yang berharga ini harus diambil kesempatan oleh kesemua pemain dan saya sangat berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditunjukkan oleh mereka.
“Kita berharap ada antara pemain dari Mukah ini akan terpilih serta menyarung jersi Kuching City FC pada musim depan,” ujar Jamal.
Skuad The City Boys akan menentang pasukan pilihan Bintulu, Jumaat ini sebelum mengakhiri saingan di Bandar Minyak, Miri pada 21 Disember.
Oleh ADI SAFARMAN