
SIBU: Seorang mat rempit dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Majistret Oon Kork Chern turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zulfiqri Abdullah, 21, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabit kesalahan.
Tertuduh yang gagal membayar denda juga diarahkan supaya tidak dibenarkan memiliki atau mengambil lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun, berkuat kuasa serta-merta.
Mengikut pertuduhan, Mohd Zulfiqri didakwa menunggang sebuah motosikal secara berbahaya di Jalan Awang Ramli Amit pada 12 April 2025, kira-kira 11.20 malam.
Berdasarkan fakta kes, kira-kira 10.00 malam pada tarikh kejadian, pihak polis trafik yang menjalankan Ops Samseng Jalanan telah mengesan tertuduh menunggang dalam keadaan membongkok dan memecut secara melulu, berpotensi mengancam keselamatan pengguna jalan lain.
Tertuduh kemudiannya berjaya ditahan kira-kira 11.28 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Ramin.
Kes berasingan: Pemandu langgar lampu merah dipenjara enam bulan
Dalam kes berasingan di mahkamah yang sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000 atau empat bulan penjara kerana melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan serius.
Tertuduh, Koh Jun Nee, 33, turut dikenakan larangan daripada memiliki atau mengambil lesen memandu selama tidak kurang lima tahun, bermula dari tarikh sabit kesalahan.
Beliau didakwa memandu secara melulu di persimpangan lampu isyarat Jalan Deshon dan Jalan Teng Chin Hua pada 24 Januari 2025, kira-kira 12.50 tengah malam.
Menurut fakta kes, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Preve yang dipandunya melanggar sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 28 tahun.
Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan, dan kaki.
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Oleh Akun Giman