
BINTULU: Usaha meningkatkan akses ke Lapangan Terbang Bintulu melalui pembinaan jalan berkembar di Jepak menunjukkan perkembangan positif dan berpotensi disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, kemajuan semasa projek memberi keyakinan bahawa tempoh siap yang ditetapkan pada Oktober 2027 mampu dipercepatkan.
Menurut beliau, jajaran projek yang hanya sekitar 4.1 kilometer menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan.

“Apabila siap kelak, perjalanan dari pusat bandar Bintulu ke lapangan terbang dijangka menjadi lebih singkat, iaitu kurang daripada lapan kilometer berbanding laluan sedia ada sekitar 25 kilometer.
“Ini sekali gus membolehkan tempoh perjalanan dipendekkan kepada sekitar 10 minit berbanding hampir setengah jam ketika ini,” katanya semasa meninjau tapak projek tersebut di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa isu berkaitan pengambilan tanah yang sebelum ini menjejaskan kemajuan projek kini telah diselesaikan sepenuhnya melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Tanah dan Survei.

Katanya, keadaan itu membolehkan kerja pembinaan diteruskan tanpa halangan serta memudahkan pergerakan kontraktor di tapak.
Dalam pada itu, pembinaan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu kini berada pada fasa akhir dengan sasaran siap fizikal pada penghujung Jun.
Jelasnya, selepas siap sepenuhnya, beberapa agensi kerajaan akan ditempatkan di bawah satu bumbung, namun memerlukan tempoh persediaan sebelum mula beroperasi.
“IAC ini dijangka menjadi mercu tanda baharu di Jepak dan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Ujar beliau, pelaksanaan projek infrastruktur tersebut dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan kawasan Jepak serta menyokong pertumbuhan ekonomi Bintulu secara keseluruhan.
Oleh Carolyne Utih