
PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memerlukan kira-kira 400 pegawai penyiasat bagi menyokong keperluan operasi dan penguatkuasaan di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata jumlah pegawai penyiasat itu adalah anggaran awal memandangkan AKPS berhasrat untuk melaksanakan sepenuhnya fungsi penyiasatan dan pendakwaan secara sendiri pada masa hadapan.
“Kita (AKPS) memerlukan hampir 400 pegawai penyiasat, yang menjadi cabaran kepada saya untuk melatih dengan kekuatan sedia ada dan juga pengambilan baharu kelak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Ketua Pengarah AKPS di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Mohd Shuhaily berkata AKPS memerlukan kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek siasatan, operasi dan pendakwaan bagi meningkatkan kecekapan pegawai penyiasat agensi itu.
“Kepakaran PDRM diperlukan untuk mematangkan AKPS dalam masa yang lebih singkat. Memang menjadi hasrat supaya kita sendiri menyiasat dan kita sendiri yang akan mendakwa.
“Kita ada pegawai pendakwa raya AKPS, ada tiga hingga empat orang yang buat masa ini lebih banyak menghabiskan masa membantu dalam konteks menasihati penggubalan undang-undang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata keputusan meletakkan pegawai kanan PDRM iaitu Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal sebagai Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang, AKPS adalah langkah tepat kerana menghasilkan beberapa kejayaan membanggakan termasuk membongkar kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram.
“Saya rasa meletakkan seorang pegawai kanan polis di tempat tersebut (Port Klang) membuatkan unsur ataupun pemikiran siasatan itu mendahului segalanya.
“Apabila beliau (Nik Ezanee) melihat akan adanya barang-barang yang mungkin ingin dibawa masuk secara tidak betul dan jenayah di depan mata, maka sebagai seorang pegawai polis dan penjawat awam beliau bertindak,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata AKPS bersama beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PDRM dan Jabatan Alam Sekitar akan mempertingkatkan usaha mengesan kegiatan haram di pintu masuk negara.
“Semua sedia maklum bahawa di pelabuhan, bukan AKPS sebagai agensi tunggal, banyak lagi agensi yang terlibat. Tanggungjawab (operasi dan penguatkuasaan) itu bukan pada saya tetapi kepada pucuk pimpinan yang lebih tinggi daripada AKPS,” katanya. – Bernama