BINTULU, 5 November: Pengukuhan pemeriksaan berasaskan profil risiko dan penyelarasan antara agensi menjadi antara tumpuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam memastikan keselamatan Pelabuhan Bintulu sebagai pintu masuk perdagangan antarabangsa negara.
Ketua Pengarah AKPS, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan lawatan kerja ke pelabuhan berkenaan hari ini bagi meninjau operasi harian serta bertemu pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.

Menurut kenyataan di laman rasmi Facebook AKPS, Pelabuhan Bintulu mempunyai peranan strategik dalam aspek keselamatan sempadan negara berikutan fungsinya sebagai pintu masuk perdagangan antarabangsa.
Sehubungan itu, pemeriksaan berdasarkan profil risiko serta penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Kesiapsiagaan petugas serta keberkesanan kawalan turut menjadi asas penting dalam melindungi hasil negara, selain memelihara keselamatan dan kedaulatan Malaysia.




