BINTULU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Bintulu menyita sembilan kontena yang disyaki mengandungi barang dagangan tidak diisytiharkan dengan nilai rampasan dianggarkan RM4.132 juta dalam satu operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Bintulu, semalam.
Operasi yang dijalankan semalam itu melibatkan sepasukan pegawai AKPS Pelabuhan Bintulu diketuai Komander Pintu Masuk, Puan Marie Ajeng, selaku ketua operasi bersama pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Menurut kenyataan media AKPS hari ini, pemeriksaan fizikal terhadap sembilan kontena berkenaan mendapati ia mengandungi ayam sejuk beku yang memerlukan permit import, namun tidak diikrarkan dengan betul dalam dokumen dagangan.
Susulan itu, kesemua kontena berkenaan disita bagi membantu siasatan lanjut yang akan dijalankan oleh JKDM.
AKPS memaklumkan nilai keseluruhan rampasan hasil pemeriksaan tersebut dianggarkan berjumlah RM4,132,440.

Kes itu telah dirujuk kepada JKDM untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa dan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana disyaki melibatkan pengikraran yang tidak benar atau tidak lengkap terhadap barang import.
AKPS berkata, pihaknya akan terus memperketat kawalan dan pemantauan di semua pintu masuk negara bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan barang dagangan yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan negara.
Oleh Faizah Muzidi




