
KOTA KINABALU: Program Literasi Kewangan GoGiggers anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kini diperluas ke Malaysia Timur menerusi GoGiggers 2.0 Jelajah Borneo 2025 selepas mendapat sambutan menggalakkan di Semenanjung.
Ketua Pegawai Eksekutif (AKPK) Azaddin Ngah Tasir berkata program itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 penghantar foodpanda di Sabah dan Sarawak sekali gus mampu mempertingkatkan literasi kewangan mereka melalui pendekatan berimpak tinggi.
“Ini termasuk penyampaian mesej kewangan menerusi infografik interaktif, audio siar ‘JomBorak’ yang menampilkan pakar kewangan dan pempengaruh tempatan serta audio siar mingguan AKPK, ‘Tanya Je Thursday’,” katanya dalam kenyataan selepas perasmian program itu di sini hari ini.

Program GoGiggers 2.0 Jelajah Borneo 2025 dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Azaddin Ngah berkata usaha itu ialah langkah strategik bagi menzahirkan komitmen teguh AKPK dalam memupuk ketahanan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, memperkasakan individu dengan pengetahuan dan alat untuk menguasai kewangan mereka serta memperkukuh amalan pengurusan wang dan penggunaan kredit secara berhemat di seluruh negara.
Beliau berkata program yang turut mendapat sokongan daripada rakan strategik AKPK iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu, memberikan tumpuan khusus kepada rakan rider foodpanda sebagai wira barisan hadapan dalam sektor ekonomi gig yang kian diiktiraf atas sumbangan mereka kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata GoGiggers 2.0 Jelajah Borneo 2025 bukan sekadar program pendidikan kewangan tetapi juga inisiatif jangka panjang bertujuan membina daya tahan kewangan serta memperkasakan pekerja gig agar lebih bersedia menghadapi cabaran kewangan masa kini.
“Usaha ini turut menyokong aspirasi nasional ke arah pembangunan ekonomi mampan dan pengurangan kerentanan kewangan isi rumah,” katanya.
Musim pertama bersama rakan rider foodpanda menunjukkan peningkatan 34.4 peratus dalam tahap kesejahteraan kewangan peserta, kenaikan 13.1 peratus dalam pengetahuan kewangan serta anjakan positif sebanyak 18.5 peratus dalam tingkah laku kewangan.
Lebih membanggakan, 74 peratus peserta mengambil langkah proaktif dengan memulakan simpanan kecemasan, membina jaringan keselamatan kewangan melalui pembukaan akaun GIRO dan penyertaan dalam Sijil Simpanan Premium BSN.
Pada majlis perasmian itu, seramai 200 penghantar makanan iaitu 100 dari Sabah dan 100 dari Sarawak yang terpilih akan diberikan bimbingan kewangan menerusi program hibrid yang berlangsung selama enam bulan bermula Julai hingga Januari tahun depan.
Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia Tan Ming Luk berkata menerusi GoGiggers 2.0 Jelajah Borneo 2025, foodpanda sangat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan AKPK, BSN dan KWSP dalam melengkapkan rakan penghantar dengan pengetahuan, alat dan keyakinan untuk membina kewangan yang terjamin.
Beliau berkata di foodpanda, mereka percaya bahawa memperkasakan rakan penghantar bukan sekadar menyediakan peluang, tetapi juga menyokong kesejahteraan mereka dalam jangka masa panjang.
“Rakan penghantar kami ialah nadi ekonomi gig dan melabur dalam daya tahan kewangan mereka bukan sahaja tindakan yang betul tetapi juga suatu langkah ke arah ekonomi negara yang lebih kukuh dan terangkum,” tambahnya.
–Bernama