Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Akmal Ahmad hayati watak ‘Kelabu’ Basir dalam teater Sungai Mengalir Lesu
  • HIBURAN

Akmal Ahmad hayati watak ‘Kelabu’ Basir dalam teater Sungai Mengalir Lesu

Utusan Sarawak 3 hours ago

TEATER Sungai Mengalir Lesu karya klasik Sasterawan Negara Datuk Seri Dr Abdul Samad Mohamed Said atau A. Samad Said kembali dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama empat hari bermula 8.30 malam ini. Naskhah terbitan 1967 itu menampilkan pelbagai watak daripada masyarakat berbilang kaum yang terhimpit dengan penderitaan akibat kebuluran, seksaan tentera Jepun dan ugutan maut yang menghantui kehidupan seharian mereka. Antara barisan pelakon utama ialah Akmal Ahmad, pelakon muda berbakat besar yang memegang watak Basir, karakter kompleks yang menjadi tunjang cerita berlatar belakangkan Singapura ketika era Perang Dunia Kedua. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bermula malam ini selama empat malam berturut-turut, Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka di sini akan membawa peminat teater mengimbau zaman penjajahan Jepun menerusi naskhah Sungai Mengalir Lesu, karya klasik Sasterawan Negara A. Samad Said.

Diterbitkan pada 1967, nukilan tokoh dengan nama penuh Datuk Seri Dr Abdul Samad Mohamed Said itu menampilkan watak-watak daripada berbilang kaum yang terhimpit kesengsaraan akibat kebuluran, seksaan tentera Jepun dan ugutan maut saban hari. 

Watak utama diterajui oleh Akmal Ahmad,  pelakon muda berbakat besar yang memainkan peranan Basir, iaitu karakter kompleks yang menjadi tunjang cerita berlatarbelakangkan Singapura ketika era Perang Dunia Kedua tersebut.

Selain Akmal, 39, pementasan turut disertai pelakon teater berbakat seperti Nesa Idrus, Shasha Fairus dan Roydy Rokidy bersama-sama dengan lebih 20 pelakon lain yang membawa warna tersendiri dalam menghidupkan suasana Singapura ketika itu.

Dalam temu bual dengan Bernama, Akmal berkata cabaran utamanya dalam menghidupkan watak Basir ialah menzahirkan sisi “kelabu” seorang manusia biasa dengan tindakan yang ada kalanya murni tetapi bersulam kepentingan peribadi.

“Kalau watak utama lain biasanya heroic, putih seputih-putihnya, Basir ada sisi baik dan juga titik hitam. Dia buat sesuatu untuk orang lain, tapi dalam masa sama ada manfaat untuk dirinya. Saya boleh katakan dia watak ‘grey area’, bukan putih, bukan hitam, tapi kelabu,” katanya kepada Bernama.

Akmal yang dikenali menerusi filem aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang, berkata karya sastera seperti itu menuntut penghayatan mendalam kerana sarat dengan lapisan makna, selain mencabar pelakon untuk menarik minat penonton muda khususnya generasi Z.

“Cabaran sebagai pelakon ialah bagaimana mahu memastikan penonton dapat menangkap semua lapisan itu. Dialognya nampak mudah tapi ada makna tersirat. Jadi saya berulang kali baca novel ini selain berbincang dengan pengarah.

“Masa persediaan saya pula singkat 25 hari, jadi saya kena bekerja lebih keras daripada orang lain,” katanya sambil menambah babak merancang untuk mencuri makanan daripada tentera Jepun antara yang paling meninggalkan kesan padanya.

Bercerita lanjut, lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini berkata beliau kembali aktif ke teater sejak tahun lalu kerana melihat seni itu sebagai ruang penting untuknya mengasah kemahiran lakonan.

“Saya bermula dari pentas sebelum ke drama dan filem. Selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19, saya janji pada diri untuk buat sekurang-kurangnya satu teater setahun.

“Teater penting untuk ‘brush up’ kemahiran lakonan yang kita tak sempat proses di set penggambaran,” katanya yang pernah beraksi dalam teater muzikal Tun Mahathir di Istana Budaya pada 2010 dan Sirih Bertepuk Pinang Menari arahan Dr Lenny Irwan pada tahun lalu.

Sementara itu, pengarah teater berkenaan Aris Othman berkata peluang mengarahkan semula naskhah tersebut selepas hampir tiga dekad, menjadi tanggungjawab besar buatnya.

“Ketika pementasan pertama pada 1997 saya hanya pelakon tambahan. Kali ini apabila diberi mandat mengarah, tanggungjawabnya jauh lebih besar. Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menterjemahkan karya Pak Samad (A. Samad Said) ini mengikut pemahaman saya di pentas,” katanya.

Aris juga bersyukur teater itu mendapat sambutan luar biasa dengan hampir semua tiket habis terjual sejak awal, membuktikan karya besar A. Samad Said itu masih segar serta relevan dengan masyarakat hari ini.- Bernama

Continue Reading

Previous: Kang Min Kyung amal makan sekali sehari selama 10 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.