Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Akaun media sosial kendalian ibu bapa dibenarkan, bawah 16 tahun dilarang buka akaun sendiri
  • NASIONAL

Akaun media sosial kendalian ibu bapa dibenarkan, bawah 16 tahun dilarang buka akaun sendiri

Utusan Sarawak 7 hours ago
MENTERI Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri namun akaun yang dikendali oleh ibu bapa bagi pihak anak-anak adalah dibenarkan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ketetapan itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada risiko keselamatan dalam talian termasuk ancaman pemangsa siber yang berpotensi menghubungi kanak-kanak menerusi pelbagai platform media sosial.

“Isu utamanya ialah siapa yang mengawal akaun tersebut… kita tidak mahu anak-anak yang mengawal akaun itu sendiri… kalau akaun itu dibuka oleh ibu bapa, sekurang-kurangnya mereka boleh tahu kalau ada individu yang tidak dikenali berhubung dengan anak mereka,” katanya pada sidang media Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Sumbangan Ihsan Kasih Ramadan 2026 di sini hari ini.

Fahmi juga berkata kerajaan sedang melaksanakan regulatory sandbox atau medan uji bersama dengan platform media sosial untuk mengenakan sekatan umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun baharu.

Beliau berkata pendekatan Malaysia berbeza daripada Model Age Assurance yang digunakan di Australia, dengan Malaysia akan memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna.

“Anak-anak masih dibenarkan menonton kandungan seperti di YouTube… cuma mereka tidak boleh membuka akaun sendiri,” katanya.

Fahmi juga berkata ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap aktiviti digital anak-anak dan tidak membiarkan mereka menggunakan peranti tanpa pengawasan bagi tempoh yang terlalu lama.

“Peranti bukan pengasuh. Ibu bapa ada tanggungjawab juga,” katanya.

Sementara itu, program yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik ICU JPM Wilayah Persekutuan dan Bank Muamalat Malaysia Berhad itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM500 kepada 150 warga asnaf yang berdaftar di bawah sistem eKasih di Parlimen Lembah Pantai.

Beliau berkata inisiatif itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negara.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan (ICU JPM Wilayah) Megat Azlani Megat Ramli, Pengurus Cawangan Jalan TAR, Bank Muamalat Malaysia Berhad Fadhil Adnan, warga ICU JPM Wilayah dan komuniti setempat Lembah Pantai.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tiada rakyat Malaysia dilapor terkesan susulan perkembangan keselamatan di UAE

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.