
BINTANGOR: Sebanyak 10 kes melibatkan kegiatan keldai akaun dikesan berlaku di Daerah Meradong sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, kesemua kes tersebut kini masih dalam siasatan dan beberapa tangkapan telah dibuat.
“Bagi kes keldai akaun yang berlaku di Daerah Meradong, setakat ini ada 10 kes dan kita telah melakukan tangkapan.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk cadangan pertuduhan.
“Kesemua suspek keldai akaun yang terlibat adalah penduduk tempatan yang menyewakan akaun bank mereka kepada ‘scammer’ dengan bayaran tertentu.
“Kebanyakan mereka yang meyewakan akaun bank akan diberi RM500 dan ada juga yang tidak tahu akaun mereka digunakan menurut rakaman percakapan mereka,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Tambahnya, bayaran tersebut dibayar oleh ‘scammer’ kepada keldai akaun secara bulanan sebagai imbuhan.
“Selain Seksyen 420 Kanun Keseksaan, suspek keldai akaun juga boleh didakwa di bawah Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan.
“Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak terpedaya dengan tawaran wang mudah oleh ‘scammer’ kerana mereka boleh berdepan hukuman berat sekiranya bersubahat.
Oleh Earl Anek