Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Akaun bank diguna untuk penipuan: Tiga pemuda didenda, termasuk dua beradik
  • MAHKAMAH

Akaun bank diguna untuk penipuan: Tiga pemuda didenda, termasuk dua beradik

Utusan Sarawak 15 hours ago
DIDENDA… Ketiga-tiga tertuduh diiring keluar dari Mahkamah Majistret oleh anggota polis setelah dijatuhi hukuman atas pertuduhan memiliki akaun bank orang lain tanpa kebenaran.

SIBU: Tiga pemuda, termasuk dua beradik, dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Sibu hari ini selepas mengaku bersalah memiliki enam akaun bank milik orang lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti penipuan.

Majistret Romario Jonoi menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar pengakuan bersalah daripada ketiga-tiga tertuduh, iaitu Kelvin Ting Yow Wei, 27; Yew Hoe Bin, 26; dan abangnya Yew Hoe Ung, 33.

Mereka didakwa secara bersama mengawal enam akaun institusi kewangan milik individu lain tanpa kebenaran di sebuah rumah di Lorong Kiong Tung 19, pada 5 Mei 2025, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama JSJK Sibu telah menyerbu rumah berkenaan pada tarikh tersebut.

Dalam serbuan itu, polis merampas tiga unit komputer meja milik tertuduh. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat paparan notifikasi serta laman sesawang bank yang menunjukkan akses kepada enam akaun bank, yang bukan milik mereka.

Siasatan turut mengesahkan ketiga-tiga tertuduh tidak mempunyai kuasa sah untuk mengawal akaun-akaun berkenaan.

Ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam, dibebaskan selepas menjelaskan bayaran denda masing-masing.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haris Danial Mohamed Hassan.

Oleh Akun Giman

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Permohonan Muhyiddin rujuk isu Akta Hasutan akan didengar hakim lain
Next: Warga emas didakwa kemuka dokumen palsu kepada mahkamah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.