SELEPAS kematian penyandang kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, maka pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut. Allahyarham merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang dikenali sebagai berpersonaliti tinggi, dihormati lawan serta kawan politik dan masyarakat awam.
Kerusi yang dikosongkan itu sangat penting dipertahankan oleh parti Amanah sebagai kerusi yang satu-satunya kerusi Amanah di Johor. Parti Amanah merupakan parti yang awal penubuhan terdahulu diharapkan mampu mengambil alih peranan parti PAS yang banyak menggunakan sentimen Islam khususnya untuk meraih undi, sementelahan pemimpin-pemimpin parti Amanah adalah serpihan daripada parti PAS yang tidak bersetuju dengan tindak-tanduk Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan sekutu mereka dalam pentadbiran parti.
Permusuhan Tradisi
Kelompok yang tidak bersetuju ini kebanyakannya terdiri daripada golongan profesional dan teknokrat dalam PAS ketika itu, manakala kebanyakan golongan agamawan muda ketika itu berpihak kepada Hadi Awang. Kelompok yang progresif ini yang berprinsip mahu kekal kerjasama dengan DAP dan Parti Keadalan Rakyat (PKR) hingga mereka disingkirkan secara beramai-ramai oleh kepemimpinan Pas.
Justeru, kewujudan Amanah adalah simbol gerakan politik Islam
progresif bagi menentang PAS mahu mempertahankan pendekatan konservatif mereka.
Maka, selepas terbentuknya parti Amanah, perjuangan menentang PAS dilihat lebih banyak diharap terhadap peranan Amanah kerana lebih tahu isu-isu dalaman parti tersebut. Namun parti Amanah belum mampu lagi menandingi keupayaan parti PAS yang mempunyai lebih ramai ahli yang walak (setia) dan jentera kempen yang jauh lebih besar. Pilihan raya negeri Sarawak menjadi penyertaan pertama Amanah dalam pilihan raya sebagai ujian pertama dan ujian medan memperkenalkan parti baharu diikuti dengan pilihan raya umum ke-14. Namun prestasi Amanah tidaklah begitu baik berbanding dengan PAS
Makna Kerjasama
Apabila PRK di Johor diadakan, ia menentukan hala tuju dan kerelevanan parti Amanah selepas pemimpin popular mereka meninggal dunua. Malah bukan sahaja terfokus kepada masa depan parti tersebut, malah ia juga menentukan kerelevanan Pakatan Harapan khususnya apabila membuat kerjasama dengan Barisan Nasional.
Daripada perspektif yang lebih luas, kedudukan Kerajaan Perpaduan akan terjejas dari segi reputasi sekiranya gagal mempertahankan dua kerusi tersebut. Kedudukan kerusi 148, iaitu mewakili dua pertiga kerusi di parlimen di Dewan Rakyat mahu dipertahankan bagi mengelak persepsi kononnya Kerajaan Perpaduan semakin lemah yang digunakan oleh pihak pembangkang bagi mewujudkan ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan.
PRK ini menentukan bahawa sama ada kepemimpinan Perdana Menteri ke-10 amat diperlukan bagi terus memimpin negara khususnya di kawasan negeri BN dan PH di Malaysia barat dan Selatan tanahair. Ia juga bagi menilai sejauh manakah yang dikatakan gelombang hijau PAS mampu menembusi negeri Johor yang dikenali sebagai kawasan Melayu yang lebih moderat dan progresif terhadap isu Melayu dan Islam.
Pandangan Politik Veteran
Beberapa ahli politik termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak menolak
ramalan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa UMNO akan terkubur pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram. Bekas Perdana Menteri itu percaya pengaruh dan pendirian yang ditunjukkan Muhammad Sanusi boleh membawa perubahan kepada pendirian politik rakyat di Johor.
Sanusi pula dilaporkan berkata Johor bukan lagi kubu kuat Umno, sebaliknya dilihat akan terkubur dengan gelombang Perikatan Nasional. Malah katanya, DUN Simpang Jeram bakal menjadi pintu masuk serta pencetus gelombang PN sebelum bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang. Khairy Jamaluddin pula menjangka PH akan hilang DUN Simpang Jeram kera menjangka undi Barisan Nasional akan banyak hilang dan diambil alih oleh Perikatan Nasional. Pandangan ini sebenarnya mewakili kelompok yang dilihat anti UMNO dan PH serta mesra Perikatan Nasional.
Keputusan PRK Pulai
Keputusan PRK telah mengecewakan pembangkang kerana dakwaan PN akan menang terbukti sebagai propaganda untuk menarik undi semata-mata. Dalam PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat memperoleh 48, 283 undi dan menang 18,641 undi. Berbanding lawannya cuma memperoleh 29,642 undi. Dari segi peratus, PH mendapat 61.54 peratus undi berbanding PN hanya mendapat 37.78 peratus undi. Bebas pula mendapat 528 undi atau 0.67 peratus undi. Dari segi peratusan undi PRU-15, undi PH meningkat dalam PRK ini kerana pada PRU lalu, PH hanya mendapat 55.38 peratus.
PH Menang di DUN Simpang Jeram
DUN Simpang Jeram juga dimenangi oleh PH dengan mendapat undi sebanyak 13,844 undi atau mewakili 56.54 peratus undi. PN pula yang diyakini PAS akan menang, sebaliknya kalah dengan mendapat 10,330 undi atau 42.19 peratus manakala Bebas pula mendapat 311 undi atau1.27 peratus undi. Pada PRU ke-15, PH hanya mendapat 40.94 peratus undi dan kini meningkat kepada 56.54 peratus undi walaupun keseluruhan DUN dan Parlimen jumlah turun mengundi.
Jumlah turun mengundi kurang kerana faktor cuaca hujan lebat pada waktu pagi. Terdapat juga pandangan bahawa apa-apa pun keputusan PRK ini tidak mampu mengubah kedudukan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. PH dan BN tetap masih memerintah dan tidak tergugat. Jadi, ramai kalangan pengundi melihat ia kurang signifikan walaupun kalangan parti politik yang bertanding melihat sebaliknya.
Analisis PRK
Kemenangan besar diperoleh PH dari segi peratus undi diperoleh sebenarnya menunjukkan akar umbi Umno mulai menerima kerjasama BN dan PH. Peratus kemenangan lebih besar pada PRK Simpang Jeram, berbanding pada pilihan raya kerusi DUN di Johor tahun lepas. Ia memperlihatkan keyakinan pengundi bahawa Kerajaan Perpaduan adalah pillihan yang rasional buat mereka yang mahu pembangunan yang lebih baik dan mempunyai rekod prestasi yang lebih menyakinkan.
Maka tidak timbul dakyah bahawa penyokong Umno menolak dan memboikot pakatan BN-PH secara menyeluruh. Akar umbi akan menerima secara rasional apabila sesi pencerahan disampaikan secara sistematik, rasional dan menyakinkan. Kepemimpinan UMNO berjaya menjelaskan kerjasama BN dengan PH secara berterusan. Bagaimanapun, perlu ada usaha berterusan daripada BN dan PH untuk memberikan penjelasan kepada akar umbi masing-masing, menggandakan sokongan, dan membina momentum lebih besar untuk Kerajaan Perpaduan.
Sudah tentu, sokongan akar umbi BN kepada PH di Simpang Jeram dan Pulai akan memberikan dorongan untuk dua gabungan itu bekerjasama lebih erat dalam PRK Pelangai di Pahang akan datang pada 7 Oktober nanti. Apapun, kemenangan PH dalam PRK kali ini melonjakkan reputasi Kerajaan Perpaduan yang dilihat mampu membina kestabilan politik dan ekonomi untuk negara.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).