APABILA bercakap tentang ekonomi Sarawak pada era Brooke, kita biasa mendengar dan berkata tentang sagu, minyak, lada hitam dan putih, emas, antimoni dan arang batu. Di sepanjang era pemerintahan Brooke terdapat beberapa lagi barang yang tersenarai sebagai mempunyai nilai eksport di Sarawak iaitu akar tuba dan gula apong.
Bagaimanapun, kedua-dua item eksport ini tidaklah sepenting minyak, sagu dan lada tetapi ia tetap disenaraikan sebagai eksport Sarawak pada era Brooke. Ini kerana kedua-dua barangan eksport itu mempunyai pasaran sendiri dalam dan luar negara.
SENARAI EKSPORT
Pada peringkat awal, kedua-dua barang dagangan ini disenaraikan dalam penyata perdagangan asing di Kuching pada November 1918. Kedua-dua barangan ini diletakkan sebagai barang eksport di Kuching. Dalam penyata tersebut, dinyatakan bahawa akar tuba dieksport sekitar 161 ½ pikul dengan nilai $2,074, manakala gula apong pula dieksport sebanyak 86 1/10 pikul, dengan nilai eksport yang lebih kecil iaitu $499 berbanding akar tuba.
Oleh kerana kedua-dua item eksport ini tidak begitu penting, ia tidak selalu disenaraikan oleh Sarawak Gazette sebagai barangan eksport. Dalam beberapa tahun tertentu, Sarawak Gazette akan menyenaraikan kedua-dua item ini. Contohnya, akar tuba mula disenaraikan semula dalam penyata eksport Kuching pada November 1927. Dalam penyata tersebut, jumlah eksport akar tuba adalah 642 7/10 pikul dengan nilai eksport sebanyak $4,296.
Sementara itu, gula apong dinyatakan dalam senarai eksport Kuching dengan jumlah 560 pikul dan nilai dagangnya adalah $2,450. Jika diteliti, jumlah pikul dan nilai eksport kedua-dua barang ini menunjukkan peningkatan dari 1918 hingga 1927.
DATA BESAR
Data-data ini menunjukkan hanya senarai eksport yang berlaku di Kuching. Data lebih besar seluruh Sarawak menunjukkan bahawa kedua-dua item dagangan ini juga menunjukkan kepentingan tersendiri.
Akar tuba misalnya mencatat peningkatan eksport pada 1925. Jumlah eksport bagi item dagangan akar tuba adalah 5,872 pikul dengan nilai berjumlah $28,985. Namun demikian nilai dagangan gula apong pula mengalami penurunan pada 1925.
Jumlah dagangan gula apong adalah pada 2012 pikul. Jumlah ini pula bersamaan dengan nilai dagangan sebanyak $11,544. Namun demikian pengeluaran gula apong disenaraikan sebagai hasil hutan utama yang dicatat dalam laporan tahunan pada 1929. Pengeluaranya pada 1928 dan 1929 dinyatakan berkurangan dengan jumlah 4,638 pikul dan 4,498 pikul masing-masing. Pada zaman kemelesetan ekonomi, kedua-dua barang dagangan ini juga menerima kesannya. Kedua-dua barangan eksport ini juga mengalami kejatuhan eksport. Ini kerana pemintaan dunia yang kurang menyebabkan keadaan ini berlaku.
KAWASAN
Akar tuba pula tidak disenaraikan sebagai hasil hutan walaupun barang dagangan itu dikeluarkan dari kawasan pedalaman. Sebahagian besar akar tuba ini diperoleh dari Bahagian Ketiga.
Gula apong pula diperoleh dari sap pokok nipah, terletak di kawasan muara sungai yang berlumpur. Ia diusahakan oleh orang Melayu di kawasan pesisir sungai di Sarawak. Kepentingan gula apong ini juga menyebabkan ada pemintaan dari luar negara untuk mendapat benihnya. Petani-petani Tahiti pada 1929 telah memesan sebanyak 300 bijih nipah untuk tujuan penanaman.
RACUN
Kedua-dua barang dagangan ini mempunyai fungsi berbeza. Akar tuba mengandungi bahan kimia yang berfungsi sebagai racun. Oleh itu akar tuba menjadi bahan untuk menangkap ikan. Satu ketika dahulu bahan ini menjadi aktiviti menuba untuk menangkap ikan. Aktiviti menuba ini membantu untuk memperoleh kuantiti ikan dengan banyak. Salah satu aktiviti menuba dilakukan adalah semasa ulang tahun kelahiran Raja Vyner Brooke pada 1922. Satu acara menuba dilakukan di Sungai Simunjan pada tahun tersebut. Sebanyak kira-kira 500 perahu melakukan aktiviti menuba.
Semasa lawatan Raja Muda ke Bau pada 20 hingga 21 April 1907satu acara menuba telah dilakukan. Acara menuba ini disertai juga oleh Raja Muda. Walaupun hujan lebat di Bau ketika itu tetapi aktiviti menuba ini berjaya apabila peserta mendapat hasil tangkapan yang banyak.
Oleh kerana akar tuba ini berfungsi sebagai racun, maka ia dijadikan sebagai pencegah penyakit dan seranga dalam sektor pertanian terutama sektor penanaman lada. Oleh kerana itu, pada 1929 sebanyak 1/3 akar tuba di Bahagian Ketiga dijadikan bahan semburan oleh penanam lada hitam. Dari segi harga pula akar tuba ini bernilai $8.70 satu pikul pada 1931. Pembeli kepada akar tuba ini datangnya dari syarikat barat seperti Messrs. MacDougall, Robertson & Co., Ltd. Namun demikian syarikat ini pada 1931 telah memberhentikan pembelian akar tuba, menyebabkan kesukaran bagi pengeluar akar tuba ini untuk menjual barangan tersebut. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa mencari pasaran lain untuk menjual akar tuba.
MANISAN
Sementara itu, gula apong lebih kepada kegunaan untuk makanan. Ini kerana gula apong merupakan alternatif kepada gula kerana kemanisannya. Biasannya gula apong digunakan pada zaman dahulu untuk menjadi bahan membuat kuih. Hari ini gula apong masih memain peranan penting dalam sektor pembuatan makanan. Harga gula apong pada 1931 adalah $2.20 satu pikul secara puratanya. Harga ini dianggap agak rendah tetapi pemintaan kepada gula apong berterusan yang membolehkan ia kekal relevan dalam pasaran eksport Sarawak.
Catatan ringkas tentang dua hasil dagangan Sarawak semasa era Brooke ini menampakkan bahawa bumi Sarawak ini mempunyai hasil hutan yang mampu menjana pendapatan penduduk dan negeri. Gula apong misalnya menjadi satu item yang telah dikomersial dengan baik pada hari ini dengan ada pelbagai barangan makanan berasaskan bahan tersebut.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).