Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia tawar akses pendidikan releven
  • PENDIDIKAN

Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia tawar akses pendidikan releven

Utusan Sarawak 12 hours ago
TIMBALAN Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang (tengah) bergambar pada Majlis Konvokesyen Kali ke- 5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15 hari ini. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia yang menyediakan akses pendidikan relevan dan berdaya saing untuk golongan muda adalah selari dengan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkenalkan kerajaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata menerusi program ditawarkan Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia itu, belia lepasan tingkatan tiga bukan sahaja berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) malah boleh melanjutkan pengajian tanpa menanggung bebanan kewangan.

Beliau berkata lebih 80 peratus daripada 5,000 graduan lepasan akademi berkenaan yang dibuka pada 2018 telah diserap bekerja di rangkaian syarikat perkhidmatan makanan global berkenaan di seluruh negara manakala selebihnya memilik bekerja di syarikat yang relevan, menyambung pengajian dan membuka perniagaan sendiri.

“Ini adalah bukti pengiktirafan terhadap model kerjasama kerajaan-industri, sejajar dengan matlamat besar negara untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran, berkualiti dan berdaya saing.

“Pendekatan ini juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap anak muda mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dan boleh dipasarkan dan pada masa sama memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi latihan dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali Kelima Akademi Vokasional McDonald’s yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar.

Sebanyak 1,150 graduan menerima SKM Tahap Tiga dan DKM Tahap Empat pada majlis tersebut.

Rubiah turut menyeru lebih banyak syarikat dan majikan untuk tampil memainkan peranan lebih besar dalam menyokong sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, sama ada melalui program perantis, pelaburan dalam akademi korporat atau pemindahan teknologi.

Beliau berkata model kerjasama yang inklusif dan mampan antara kerajaan, institusi latihan dan industri merupakan kunci bagi memastikan negara tidak hanya memiliki tenaga kerja mencukupi tetapi benar-benar bersedia untuk ekonomi masa hadapan.

“Setakat 2024, kadar kebolehpasaran graduan TVET telah mencapai 95.1 peratus, dan ia membuktikan bahawa laluan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan majikan,” katanya.

 Sementara itu, Azmir berkata sepanjang tempoh 18 bulan pengajian, perantis akademi ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia merangkumi elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal, makan minum, faedah insurans dan perubatan termasuk sumbangan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan sekitar RM40,000 untuk seorang perantis sepanjang mengikuti program itu selain mereka juga tidak terikat dengan sebarang kontrak perkhidmatan selepas tamat belajar.

“Kami bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan masuk ke kampung-kampung bagi mencari asnaf dan anak yatim untuk diberi peluang meningkatkan potensi diri dan kerjaya. Mereka yang menjadi perantis diberikan elaun RM1,700 sebulan sebagaimana kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: SMK Bahasa Malaysia sambut Jubli Emas, pembangunan sekolah diperkasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.