
ENGKILILI: Seramai 13 peserta berjaya menamatkan Kelas Ngajat sesi pertama bagi tarian Ajat Liuk Lundai atau lebih dikenali sebagai Ajat Lama, yang berlangsung di Dewan Masyarakat di sini, hari ini.
Ketua Akademi Gemalai Tari, Allysa Sylla Sidin berkata, kesemua peserta telah mengikuti latihan intensif selama lapan sesi yang dijalankan pada setiap hujung minggu sejak 26 Jun lalu.
“Kelas ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat, khususnya anak-anak muda dan golongan dewasa.
“Saya amat berbangga melihat semangat mereka dalam mempelajari dan melestarikan seni budaya tradisional ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sijil tamat kelas kepada para peserta di Dewan Masyarakat Engkilili, hari ini.
Tambah beliau, kelas tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh beliau sendiri dengan bantuan penari profesional berpengalaman, Galiscia Saylentia Sandra Dina.
“Harapan saya adalah agar semua peserta dapat memanfaatkan ilmu serta kemahiran yang diperoleh bukan sahaja untuk kepuasan diri, tetapi juga bagi memperkasakan lagi seni tarian Ngajat dalam komuniti masing-masing,” ujarnya.
Kelas Ngajat Ajat Liuk Lundai sesi pertama dijalankan selama dua jam setiap hari Sabtu dan Ahad, bermula 11.30 pagi hingga 1.30 petang.
Menurut Allysa, pihaknya akan meneruskan usaha memartabatkan tarian tradisional tersebut menerusi penganjuran kelas sesi kedua yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini di dua lokasi berasingan iaitu Engkilili dan Lubok Antu.
“Orang ramai yang berminat untuk menyertai kelas sesi kedua boleh menghubungi saya secara terus di talian 013-8258221 untuk maklumat lanjut,” jelasnya.
Selain itu, inisiatif itu berpotensi menjadi platform penting dalam memastikan warisan budaya masyarakat Dayak terus subur dan relevan dalam arus pemodenan.
Oleh Adi Safarman