BETONG: Projek cadangan pembinaan Akademi Belia Betong yang dimulakan pada 6 Mei lalu dijadualkan siap sepenuhnya pada 5 Mei 2028, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan modal insan dan pemerkasaan golongan belia di Bahagian Betong.
Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek berimpak tinggi itu merupakan antara inisiatif strategik kerajaan Sarawak bagi menyediakan kemudahan latihan moden, kondusif dan menyeluruh untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berkemahiran serta berpotensi tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu telah mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bagi meninjau perkembangan semasa pelaksanaan pembinaan akademi berkenaan.
Lawatan tersebut turut disertai wakil JKR Bahagian Betong selaku agensi pelaksana, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), pihak perunding serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
Sepanjang lawatan itu, Gerald diberi taklimat mengenai status semasa projek oleh wakil Pegawai Penguasa Projek, Hasrul Nizzah Abu Hassan, yang menjelaskan perkembangan pelaksanaan kerja di tapak.
Taklimat itu turut merangkumi kemajuan pembinaan, cabaran yang dihadapi di tapak serta langkah-langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual, kos dan spesifikasi yang telah ditetapkan.
Skop pembangunan Akademi Belia Betong melibatkan pembinaan sebuah bangunan utama atau Youth Central, blok asrama lelaki dan perempuan, blok kuarters, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pelaksanaan kerja-kerja luaran berkaitan.
Kemudahan lengkap yang disediakan menerusi projek itu dijangka mampu menyokong pelbagai program pembangunan belia, termasuk latihan kepimpinan, pembangunan sahsiah dan peningkatan kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar menegaskan kepentingan kerjasama erat antara semua pihak bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Komitmen semua agensi dan pihak berkaitan amat penting bagi memastikan kemudahan tersebut dapat disiapkan dengan kualiti terbaik serta memenuhi objektif kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan belia.
“Kerajaan Sarawak kekal komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan secara cekap, berkualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan demi manfaat jangka panjang kepada masyarakat, khususnya golongan belia di Bahagian Betong.
“Apabila siap kelak, Akademi Belia Betong dijangka muncul sebagai pusat pembangunan belia yang komprehensif, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan di kawasan tersebut,” katanya.
Selain melahirkan belia yang berkemahiran dan berdaya saing, akademi itu turut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosial dan ekonomi Bahagian Betong melalui pelaksanaan pelbagai program latihan, pembangunan bakat dan keusahawanan pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman




