
KUALA LUMPUR: Airod Sdn Bhd, syarikat kejuruteraan aeroangkasa terkemuka Malaysia memeterai perjanjian usaha sama dengan Satys Aircraft Painting untuk meningkatkan keupayaan sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di Malaysia, terutama dalam bidang kemasan luaran dan pengecatan pesawat.
Satys, yang beribu pejabat di Perancis, ialah pakar global dalam bidang pengecatan, pengedapan dan kemasan permukaan pesawat di samping membekalkan perkhidmatan kepada pembuat peralatan tulen (OEM) utama dan syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan sinergi antara Airod dan Satys itu bertujuan memberi sokongan kepada sektor penerbangan komersial dan ketenteraan di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Sinergi itu juga dijangka merangsang penciptaan pekerjaan, pemindahan pengetahuan dan pembangunan kapasiti, sejajar dengan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia serta memperkukuh aspirasi Sarawak dalam industri aeroangkasa yang sedang berkembang, tambahnya.
Pengarah Airod Datuk Firhad Uzir Rahim berkata kerjasama dengan Satys akan membawa masuk teknologi dan perkhidmatan terbaik dunia ke dalam ekosistem tempatan negara.
“Hal ini merupakan detik penting dalam pembangunan sektor aeroangkasa Malaysia dan selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat aeroangkasa serantau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Satys Christophe Cador berkata kerjasama itu mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap industri aeroangkasa Malaysia dan menjadi penanda aras baharu dalam bidang MRO di rantau ini.
Majlis pemeteraian perjanjian itu berlangsung di Courtyard Marriott, Toulouse, Perancis dengan disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Acara itu turut dihadiri oleh pemimpin kanan dan tetamu kehormat daripada kedua-dua organisasi serta wakil penting kerajaan Sarawak. — Bernama