
KUCHING: AirBorneo bersedia memulakan operasi komersial pertamanya ke Semenanjung Malaysia apabila penerbangan sulung laluan Kuching-Kuala Lumpur-Kuching dijadual beroperasi pada 20 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, beliau telah meninjau tahap kesiapsiagaan operasi AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) menjelang pelancaran perkhidmatan berjadual syarikat penerbangan itu.
Beliau berkata, lawatan tersebut bertujuan memastikan semua persiapan berada pada tahap terbaik termasuk aspek operasi penerbangan, pengurusan penumpang, sokongan kejuruteraan, prosedur keselamatan serta perkhidmatan darat.
Menurutnya, pelancaran perkhidmatan berjadual pertama AirBorneo di luar Malaysia Timur merupakan satu pencapaian bersejarah dalam sektor pengangkutan udara Sarawak dan mencerminkan visi jangka panjang kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kesalinghubungan udara.
“Pelancaran perkhidmatan berjadual pertama AirBorneo di luar Malaysia Timur bukan sekadar pengenalan laluan baharu.
“Ia merupakan satu lagi detik bersejarah dalam sektor pengangkutan Sarawak dan mencerminkan usaha kerajaan negeri memperkukuh hubungan udara, meningkatkan aksesibiliti serta menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata, AirBorneo ditubuhkan dengan matlamat menyediakan perkhidmatan penerbangan yang boleh dipercayai dan berkualiti, selain melengkapkan perkhidmatan sedia ada bagi menyokong sektor pelancongan, perjalanan perniagaan serta pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Katanya, AirBorneo turut melaksanakan latihan simulasi operasi berskala penuh pada 16 Julai dan satu lagi latihan pada 18 Julai menggunakan dua pesawat dalam keadaan menyerupai operasi komersial sebenar.
Dalam perkembangan sama, Lee berkata Pengerusi Lembaga Pengarah AirBorneo yang juga Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, hari ini merasmikan pejabat jualan tiket AirBorneo di LTAK.
Katanya, pembukaan pejabat berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting ketika AirBorneo memasuki fasa akhir persediaan sebelum memulakan operasi komersial.
Selepas pelancaran laluan Kuching-Kuala Lumpur-Kuching pada 20 Julai, AirBorneo dijadual memulakan penerbangan sulung Kuching-Singapura pada 22 Julai, yang akan menjadi laluan antarabangsa pertama syarikat penerbangan itu.
“Pelancaran kedua-dua laluan Kuala Lumpur dan Singapura dalam tempoh yang singkat menunjukkan kesiapsiagaan operasi AirBorneo serta komitmen untuk mengembangkan rangkaian penerbangan secara berperingkat.
“Ia juga mencerminkan kedudukan Sarawak yang semakin berkembang sebagai pintu masuk penerbangan di rantau ini serta komitmen kita meningkatkan kesalinghubungan demi manfaat rakyat dan ekonomi,” ujarnya.
Lee berkata AirBorneo menyasarkan untuk memperkenalkan penerbangan ke Kota Kinabalu dan Jakarta pada awal tahun hadapan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta tahap kesiapsiagaan operasi.
Menurutnya, lebih banyak pesawat dijangka menyertai armada AirBorneo secara berperingkat sehingga 2027, sekali gus membolehkan syarikat itu memperluaskan rangkaian destinasi domestik dan antarabangsa serta meningkatkan kekerapan penerbangan.
Beliau menegaskan kerajaan Sarawak akan terus memberikan sokongan terhadap pembangunan jangka panjang AirBorneo sebagai sebahagian strategi membangunkan ekosistem pengangkutan moden, cekap dan berdaya saing.



