PETRA JAYA, 19 Oktober: AirBorneo merancang mengendalikan penerbangan terus Kuching-Jakarta sebanyak tiga kali seminggu, dengan operasi dijangka bermula menjelang penghujung bulan ini, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa penerbangan Indonesia.
Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia AirBorneo, Vinod Krishnan berkata, syarikat penerbangan itu kini menunggu kelulusan berkenaan sebelum dapat memulakan operasi laluan baharu tersebut.
“Kami merancang untuk mengendalikan penerbangan Kuching ke Jakarta. Kami hanya menunggu beberapa kelulusan kawal selia sebelum dapat memberikan maklumat lanjut dan merancang untuk memulakannya menjelang akhir bulan ini sekiranya semua kelulusan diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin selepas beliau menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Lee berkata, kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan Indonesia merupakan perkara yang masih diperlukan sebelum AirBorneo dapat memulakan penerbangan ke Jakarta.
Menurutnya, apabila laluan itu beroperasi kelak, AirBorneo akan menghubungkan Kuching dengan tiga bandar, iaitu Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta.
Vinod berkata, harga tiket bagi penerbangan antarabangsa itu akan menggunakan sistem penetapan harga dinamik, iaitu kadar tambang boleh berubah mengikut keadaan pasaran, berbeza dengan penerbangan dalam Malaysia yang menggunakan kadar tambang tetap.
Sementara itu, Vinod berkata AirBorneo berkemungkinan menerima pesawat tambahan pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan berkaitan.
Katanya, laluan baharu yang akan dikendalikan menggunakan pesawat tambahan itu masih dalam penilaian dan maklumat lanjut akan diumumkan selepas dimuktamadkan.
Lee berkata, pengembangan rangkaian penerbangan AirBorneo akan bergantung kepada ketersediaan pesawat, selain keperluan untuk memastikan laluan yang diperkenalkan memenuhi permintaan penumpang.
Perancangan itu merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak memperkukuh hubungan udara dengan destinasi serantau serta menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada rakyat.
Oleh Shahrul Qaizat


