Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • AirBorneo rasmi beroperasi, penerbangan pertama tiba di Mukah
  • Tengah
  • WILAYAH

AirBorneo rasmi beroperasi, penerbangan pertama tiba di Mukah

Utusan Sarawak 4 hours ago
DETIK BERSEJARAH… Pendaratan pertama penerbangan AirBorneo di Lapangan Terbang Mukah hari ini.

MUKAH: Pendaratan pertama penerbangan AirBorneo di Lapangan Terbang Mukah hari ini disifatkan sebagai satu detik bersejarah, sekali gus menandakan Sarawak kini memiliki syarikat penerbangan sendiri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, penubuhan AirBorneo merupakan hasil ilham dan usaha Premier Sarawak demi menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat, khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

“Bagi saya, hari ini kita menerima pendaratan pertama penerbangan AirBorneo di Lapangan Terbang Mukah dan ini merupakan satu detik bersejarah kerana kita kini mempunyai syarikat penerbangan sendiri yang benar-benar menitikberatkan kesejahteraan rakyat.

“Ini adalah sejarah yang amat kita hargai hasil usaha Premier yang mengilhamkan penubuhan syarikat penerbangan ini demi memberi kemudahan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

SELAMAT DATANG… Royston menyambut ketibaan penerbangan sulung pesawat AirBorneo yang membawa 55 penumpang dari Kuching di Lapangan Terbang Mukah pada 9.19 pagi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung pesawat AirBorneo yang membawa 55 penumpang dari Kuching di Lapangan Terbang Mukah pada 9.19 pagi, hari ini.

Menurutnya, kewujudan AirBorneo turut mempelbagaikan akses keluar masuk ke sesuatu kawasan, bukan sahaja bergantung kepada pengangkutan darat, malah melalui penerbangan udara.

“Seperti yang kita lihat hari ini, AirBorneo telah memulakan operasinya dengan penerbangan pertama dari Kuching ke Mukah, serta ke Tanjung Manis. 

“Difahamkan waktu pendaratan kedua-dua penerbangan ini adalah hampir sama. Menurut Datu Residen Bahagian Mukah, dua penerbangan ini merupakan penerbangan sulung AirBorneo,” ujarnya.

Katanya, syarikat penerbangan ini memberi peluang besar kepada rakyat di kawasan Mukah untuk menggunakan kemudahan pengangkutan udara dengan akses penuh. 

UNTUK KENANGAN… Royston bersama pemimpin masyarakat setempat serta beberapa wakil industri penerbangan merakam kenangan di hadapan pesawat AirBorneo.

“Dari segi identitinya, kita dapat lihat AirBorneo membawa imej Sarawak, sama seperti MASwings sebelum ini yang banyak menyediakan penerbangan ke kawasan luar bandar.

“Kini, dengan adanya AirBorneo, kita yakin kemudahan ini akan memberi banyak kelebihan kepada rakyat luar bandar. 

“Selain merancakkan ekonomi, ia juga dapat menarik lebih ramai pelancong ke kawasan yang mempunyai akses penerbangan AirBorneo,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa menjelang pertengahan tahun ini, AirBorneo dijangka akan mengembangkan lagi laluan penerbangannya, termasuk kemungkinan penerbangan keluar dari Sarawak ke destinasi lain.

“Kerajaan Sarawak amat menitikberatkan perkara ini kerana kita mahu akses keluar dan masuk ke Sarawak turut melibatkan laluan antarabangsa seperti Hong Kong, Jepun dan Korea selain Kuala Lumpur.

“Ini merupakan satu inisiatif yang sangat bijak daripada Premier kita kerana ia membuka lebih luas pintu masuk ke Sarawak untuk peluang dalam sektor pelancongan, ekonomi dan lain-lain,” katanya.

Mengulas kesiapsiagaan Mukah sebagai destinasi pelancongan, Royston berkata, di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), pelbagai projek pelancongan sedang dirancang dan dilaksanakan.

“Antaranya termasuk pembangunan kawasan pantai Mukah sepanjang kira-kira 3.2 kilometer dari Muara Batang Mukah hingga ke Muara Sungai Petanak, yang bakal dilengkapi kemudahan seperti medan selera, kawasan rekreasi serta tarikan lain berasaskan budaya dan pesisir pantai.

“Di bawah projek rakyat serta pelbagai sumber pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, kita membangunkan lebih banyak kemudahan pelancongan.

“Kita berharap kehadiran AirBorneo akan melengkapkan usaha ini apabila sistem pengangkutan udara yang baik digabungkan dengan destinasi pelancongan yang menarik, kedua-duanya akan saling melengkapi,” katanya lagi.

Turut hadir Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, pemimpin masyarakat setempat serta beberapa wakil industri penerbangan.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Paras air menurun di beberapa kawasan Lawas, PPS Trusan diaktifkan
Next: SAR remaja dikhuatiri dibaham buaya di Pulau Bruit masuk hari ketujuh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.