AirBorneo pilih jalan berbeza, utamakan pengalaman pelanggan bukan sekadar tambang

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin ketika menjadi tetamu program Dialog TVS: Pentas Diskusi Anda.

KUCHING: AirBorneo mahu tampil berbeza dalam industri penerbangan dengan meletakkan pengalaman pelanggan sebagai teras perkhidmatan, bukan sekadar bersaing menerusi tambang, malah menawarkan perjalanan yang lebih telus, selesa dan bernilai kepada penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak itu tidak mahu menjadi sekadar syarikat penerbangan yang mengikut acuan sedia ada, sebaliknya membina identiti tersendiri menerusi pendekatan yang benar-benar memahami keperluan pelanggan.

Menurutnya, pendekatan tersebut diterjemahkan melalui falsafah perkhidmatan yang meletakkan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan, iaitu memberi tumpuan menyeluruh kepada pengalaman penumpang pada setiap peringkat perjalanan.

“Kita tidak mahu sekadar berorientasikan pelanggan, sebaliknya perlu meletakkan pengalaman pelanggan sebagai keutamaan.

“Apabila kita menyediakan perkhidmatan yang tepat, pengalaman pelanggan yang berkualiti serta digabungkan dengan produk dan keandalan operasi, itulah yang akan membezakan kita daripada pesaing lain,” katanya dalam program Dialog TVS Pentas Diskusi Anda.

Megat Ardian berkata, antara komitmen AirBorneo ialah mengekalkan tambang tetap RM375 bagi laluan domestik Kuching-Kuala Lumpur sepanjang tahun, termasuk ketika tempoh permintaan tinggi seperti musim perayaan.

Katanya, penumpang tidak perlu bimbang terhadap perubahan harga mengikut musim, pembelian tiket pada saat akhir atau tempoh puncak kerana kadar tersebut kekal sama tanpa caj tersembunyi.

“Tambang RM375 ini ialah harga tetap bagi penerbangan kelas ekonomi domestik kami.

“Tidak kisahlah sama ada tiket dibeli pada saat akhir atau beberapa bulan lebih awal, pada hujung minggu atau hari bekerja, malah sehari sebelum Hari Raya, harganya tetap sama,” katanya.

Beliau berkata, tambang bukan sekadar perlu rendah, sebaliknya mestilah munasabah dan menawarkan nilai yang setimpal kepada penumpang.

“Penumpang akan bertanya, ‘Saya membayar pada harga ini, tetapi apakah nilai yang saya peroleh?’,” katanya.

Menurutnya, tambang tersebut merangkumi elaun bagasi berdaftar sebanyak 23 kilogram (kg), pemilihan tempat duduk secara percuma, sajian makanan dan minuman serta pengalaman hospitaliti bercirikan Sarawak dalam setiap penerbangan.

Beliau berkata, pendekatan itu memudahkan pelajar, golongan bekerja dan keluarga yang perlu melakukan perjalanan antara Sarawak dan Semenanjung untuk merancang perbelanjaan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, Megat Ardian berkata, strategi harga dinamik berasaskan pasaran masih akan digunakan bagi tiket kelas perniagaan dan laluan antarabangsa mengikut permintaan serta keadaan pasaran.

Dalam memastikan kepercayaan pelanggan terus diperkukuh, beliau berkata, keandalan operasi dan keselamatan penerbangan kekal menjadi keutamaan AirBorneo.

Katanya, aspek teknikal serta penyelenggaraan pesawat akan diuruskan secara berdisiplin bagi memastikan setiap penerbangan beroperasi dengan selamat serta memenuhi jangkaan penumpang.

Beliau berkata, gabungan harga yang berpatutan, ketelusan perkhidmatan, keselamatan dan pengalaman pelanggan akan menjadi asas kepada usaha AirBorneo membina kesetiaan penumpang dalam jangka panjang.

Oleh Shikin Mahmud

Agong terima menghadap Premier Sarawak

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg