

KUCHING: AirBorneo sedang berusaha mempertingkatkan fungsi sistem daftar masuk secara dalam talian bagi memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan mereka.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, sistem daftar masuk AirBorneo kini masih dijalankan secara manual tetapi sedang dalam proses penambahbaikan untuk membolehkan daftar masuk online.
“Kami sedang mempertingkat fungsi sistem supaya penumpang AirBorneo, termasuk penerbangan menggunakan pesawat ATR dan perkhidmatan Perkhidmatan Penerbangan Luar Bandar (RAS), dapat melakukan daftar masuk secara dalam talian.
“Kami mahu sistem ini mesra pengguna dan mudah diakses, terutama bagi warga emas yang layak mendapat diskaun 50 peratus di bawah perkhidmatan RAS,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.
Tambah beliau, AirBorneo kini mengendalikan 35 sistem operasi yang merangkumi 24 sistem utama dan 11 sub-sistem yang berfungsi dengan baik meskipun operasi kompleks.
“Ia bukan sahaja tentang pusat kawalan sistem tetapi lebih penting ialah pelaksanaan di lapangan dan penyampaian perkhidmatan kepada penumpang.
“Setakat ini, maklum balas yang diterima adalah positif dan operasi berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa AirBorneo masih dalam fasa perancangan untuk memperluaskan laluan penerbangan ke Semenanjung Malaysia, khususnya ke Kuala Lumpur dan Singapura.
“Setakat ini, fokus utama kami adalah menstabilkan perkhidmatan sedia ada terlebih dahulu, terutama perkhidmatan luar bandar melalui Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
“Untuk laluan ke Kuala Lumpur dan Singapura, kami masih menunggu kelulusan serta mematuhi semua syarat regulatori sebelum dapat memulakan operasi.
“Perancangan ini mengambil kira aspek kewangan, jenis pesawat yang akan digunakan dan juga keperluan pasaran,” ujarnya.
Lee Kim Shin menegaskan bahawa segala perancangan tersebut adalah bersifat jangka panjang dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan kelulusan yang diperoleh.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa mulai 14 Januari lalu, AirBorneo menggunakan kod penerbangan sendiri, MY, dengan slogan ‘Fly Air Borneo, My Way’ yang mencerminkan perkhidmatan unik dan mesra pelanggan mereka.
Untuk rekod, AirBorneo mengambil alih operasi MASwings dan kini mengendalikan penerbangan domestik dalam Sarawak serta Sabah dengan penekanan kepada perkhidmatan luar bandar.
Oleh Masrin Affirah