AirBorneo perluas operasi ke seluruh ASEAN, kekalkan perkhidmatan udara luar bandar

Facebook
WhatsApp

SEPANG: AirBorneo Airways (AirBorneo) akan memperluaskan operasinya ke beberapa destinasi di seluruh ASEAN sambil terus mengekalkan tanggungjawabnya untuk menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (rural air services) di Sarawak dan Sabah.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu akan memulakan penerbangan sulung bagi laluan Kuching-Singapura pada 22 Julai bersempena dengan sambutan Hari Sarawak, diikuti Jakarta dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata seterusnya AirBorneo merancang untuk memperluaskan rangkaian penerbangannya ke bandar-bandar lain di ASEAN bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan perhubungan antara rakyat di rantau tersebut.

“Hasrat AirBorneo ialah menyediakan perkhidmatan antara bandar dalam ASEAN, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi antara negara anggota ASEAN, khususnya Indonesia, Singapura dan negara yang berjiran dengan Sarawak,” katanya pada sidang media sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak membolehkan AirBorneo meneruskan perkhidmatan udara luar bandar ke kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, selain mengembangkan operasinya sebagai syarikat penerbangan komersial di kedua-dua negeri itu. – Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman