
SEBAGAI pengguna, kita mengharapkan harga tambang kapal terbang yang murah, jadual penerbangan tepat pada masanya dan layanan kelas lima bintang dari syarikat penerbangan, walaupun harga tiket yang dibayar adalah rendah.
Bagi pengguna, hal ini adalah hak yang perlu dipenuhi oleh syarikat penerbangan kerana kita beranggapan bahawa pengguna sentiasa benar. Namun, jika kita melihat dari sudut pandang syarikat penerbangan pula, keinginan pengguna ini sebenarnya adalah tanggungjawab besar yang memerlukan pelaburan tinggi kerana setiap aspeknya berkait rapat dengan kos yang perlu ditanggung.
Mana-mana syarikat penerbangan yang wujud perlu bersedia menghadapi risiko kerugian pada peringkat awal jika ingin menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Dalam pengurusan kos, syarikat penerbangan menanggung banyak perbelanjaan yang rumit dan memerlukan strategi bijak serta berjangka panjang untuk memastikan ia dapat memberi pulangan yang lumayan.

Syarikat penerbangan hanya menjana pendapatan apabila kapal terbang mereka berada di langit. Namun, jika mereka perlu dapatkan sekurang-kurangnya menampung kos operasi, setiap penerbangan perlu memenuhi faktor muatan penumpang minimum.
Oleh sebab itu, kadangkala pengguna akan menerima notifikasi perubahan jadual waktu penerbangan bagi memastikan faktor muatan penumpang dapat dipenuhi, selain isu berkaitan keselamatan atau penyelenggaraan.
Walaupun kita hanya sebagai pengguna perkhidmatan, mungkin ada baiknya kita turut memahami bahawa kos untuk memiliki sebuah kapal terbang adalah sangat tinggi.
Sebagai contoh, kapal terbang badan sempit seperti Airbus A320neo atau Boeing 737 MAX berharga sekitar RM520 juta hingga RM615 juta, manakala kapal terbang badan lebar seperti Boeing 787 Dreamliner atau Airbus A350 boleh mencecah RM1.3 bilion hingga RM1.6 bilion.
Kos ini baharu melibatkan sebuah kapal terbang, sedangkan kebiasaannya syarikat penerbangan memerlukan sekurang-kurangnya dua kapal terbang untuk memastikan operasi yang lancar.
Oleh kerana kos yang tinggi ini, kebanyakan syarikat penerbangan tidak membeli kapal terbang secara tunai. Sebaliknya, mereka menggunakan kaedah pinjaman atau pajakan. Jika kapal terbang dibeli melalui pinjaman selama 12 hingga 15 tahun, bayaran ansuran bulanan boleh mencecah RM4 juta hingga RM5 juta.
Sebaliknya, jika kapal terbang dipajak, syarikat penerbangan perlu membayar sewa bulanan sekitar RM1.4 juta hingga RM1.6 juta untuk sebuah A320, manakala kapal terbang badan lebar seperti Boeing 787 boleh mencecah RM7 juta.
Setelah memiliki kapal terbang, syarikat penerbangan perlu menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi. Setiap kapal terbang memerlukan penyelenggaraan berkala untuk memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang.
Penyelenggaraan ini terdiri daripada beberapa kategori seperti penyelenggaraan ringan (A-check dan B-check) yang dilakukan setiap beberapa ratus jam dan penyelenggaraan berat (C-check dan D-check) yang dilakukan setiap beberapa tahun.
Apabila kapal terbang menjalani penyelenggaraan, ia tidak dapat digunakan untuk membawa penumpang. Hal ini bermakna syarikat kehilangan pendapatan, ditambah lagi dengan kos penyelenggaraan yang boleh mencecah RM100,000 hingga jutaan ringgit, ia merupakan satu beban yang sangat berat untuk ditanggung oleh syarikat penerbangan.
Jika kapal terbang masih baharu iaitu kurang lima tahun, kos penyelenggaraan adalah lebih rendah kerana komponennya masih dalam keadaan baik. Namun, apabila usia kapal terbang melebihi enam hingga sepuluh tahun, kos penyelenggaraan akan meningkat dengan ketara kerana banyak komponen perlu diganti.
Malah, jika kapal terbang berusia lebih 15 tahun, kos penyelenggaraan boleh menjadi dua kali ganda kerana keperluan untuk menggantikan sistem avionik, enjin dan struktur utama.
Kapal terbang juga memerlukan bahan api untuk terbang. Kos bahan api boleh menjadi perbelanjaan terbesar bagi setiap penerbangan, terutamanya jika harga minyak global meningkat. Dengan harga semasa, syarikat penerbangan perlu menanggung sekurang-kurangnya RM40,000 untuk memastikan kapal terbang dapat terbang dalam satu pusingan perjalanan.
Selain itu, gaji juruterbang juga merupakan kos besar yang perlu ditanggung. Syarikat penerbangan tidak boleh hanya bergantung pada seorang juruterbang. Mereka perlu merekrut ramai juruterbang untuk memenuhi jadual penerbangan yang ketat. Selain juruterbang, syarikat juga memerlukan kru penerbangan, jurutera, juruteknik, kakitangan lapangan dan kakitangan pengurusan.
Setiap pekerja ini perlu dibayar gaji yang setimpal dengan tanggungjawab mereka. Bayangkan, kos penggajian yang perlu ditanggung oleh syarikat penerbangan boleh jadi sangat besar dan jika ditambah dengan elaun serta faedah lain, jumlahnya boleh menjadi berkali-kali ganda.
Tidak cukup dengan membayar gaji, syarikat penerbangan juga perlu menyediakan latihan berkala untuk pekerja mereka. Contohnya, juruterbang perlu menjalani latihan simulasi dalam tempoh tertentu, manakala setiap pekerja wajib melalui latihan keselamatan dan kecemasan untuk memastikan kesiagaan dalam menghadapi sebarang situasi kritikal.
Selain kos utama ini, syarikat penerbangan juga perlu menanggung perbelanjaan lain seperti caj lapangan terbang dan navigasi udara. Setiap kali kapal terbang mendarat atau berlepas, syarikat perlu membayar caj kepada pihak lapangan terbang dan kawalan trafik udara. Caj ini boleh mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sekali pendaratan.
Tidak setakat itu, syarikat juga perlu membayar insurans untuk melindungi kapal terbang, kru dan penumpang daripada risiko kemalangan atau kejadian luar jangka. Kos pemasaran dan pentadbiran juga tidak boleh diabaikan. Perkara ini termasuk kos promosi, sistem tempahan tiket dan kos operasi harian.
Semua ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh syarikat penerbangan untuk memastikan operasi mereka berjalan lancar dan memenuhi harapan pengguna.
Mengapa perkara ini kita perlu ambil peduli? Kita sebagai rakyat Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri iaitu AirBorneo. Jadi dengan memahami bahawa kestabilan syarikat penerbangan seperti AirBorneo bukan sekadar isu perniagaan, tetapi ia juga melibatkan kepentingan awam. Jika syarikat ini gagal, kesannya akan dirasai oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya di Sarawak.
Oleh sebab itu, kita sangat berharap barisan pengurusan AirBorneo dapat menyusun strategi yang luar biasa supaya dapat memastikan perkhidmatan berkelas dunia dan pada masa sama ia juga dapat mengimbangi kemampuan pengguna yang berharap dapat memanfaatkan perkhidmatan kebanggaan rakyat Sarawak ini.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.