Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • AirBorneo membuka keterhubungan lebih meluas
  • KOLUMNIS

AirBorneo membuka keterhubungan lebih meluas

Utusan Sarawak 3 months ago
GAMBAR janaan AI.

Pohon rimbun di hutan belantara,
Kenyalang terbang di ufuk timur,
Bangga, teruja,
tekad membara,
AirBorneo terbang maju
dan makmur.

SARAWAK kini memiliki MASwings sepenuhnya yang dijenamakan semula sebagai AirBorneo. Pengumuman oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 12 Februari lalu telah mengangkat status Sarawak sebagai pemain utama dalam industri penerban­gan serantau.

Langkah ini menandakan satu kemajuan besar dalam usaha wilayah ini untuk mengukuhkan kedaulatan ekonomi dan pen­gangkutan udara.

Kita semua tahu, keputusan ini bukan sekadar perubahan jena­ma. Ia adalah satu strategi berani untuk membebaskan Sarawak daripada kebergantungan kepada syarikat penerbangan swasta yang berkuasa menentukan lalu­an dan harga tambang, kadang­kala menimbulkan masalah kepa­da penumpang.

Oleh sebab itu, kewujudan AirBorneo agak unik berbanding syarikat penerbangan lain. Ia bukan sekadar perniagaan, tetapi ia adalah infrastruktur penting untuk memajukan dan mening­katkan kesejahteraan ekonomi serta sosial wilayah ini.

Salah satu objektif utama AirBorneo adalah memperbaiki keterhubungan pengangkutan. Sebagai sebuah wilayah di pulau Borneo, Sarawak sering menghadapi cabaran aksesibiliti, terutama dalam menghubungkan laluan dengan bandar-bandar luar di seberang laut, selain memastikan kawasan pedalaman dan terpencil tetap terhubung dengan bandar-bandar utama di sini.

Dengan kehadiran AirBorneo, keterhubungan antara bandar utama seperti Kuching, Miri dan Sibu dengan destinasi serantau seperti Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta akan menjadi lebih lancar dan efisien.

AirBorneo juga berupaya mengoptimumkan kekerapan penerbangan serta menambah destinasi baharu yang berpotensi mendatangkan manfaat ekonomi kepada Sarawak.

Walaupun begitu, buat masa ini, AirBorneo masih belum memi­liki pesawat jarak jauh, namun komitmen untuk menyewa pesa­wat jet sudah ada dalam peran­cangan.

Perancangan memiliki pesawat sendiri akan dibuat secara berta­hap bagi memastikan ketahanan dan kelangsungan untuk jangka panjang bagi memudahkan pen­gurusan penerbangan yang lebih efektif.

Sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), Air­Borneo menjamin harga tambang yang stabil dan mampu beli, walaupun pada musim perayaan atau cuti sekolah.

Hal ini pastinya menjadi tarikan kuat bagi penumpang, kerana selain harga berpatutan, AirBor­neo menawarkan kemudahan lengkap seperti tempat duduk selesa, makanan dan minuman dalam penerbangan, elaun bagasi percuma serta hiburan dalam penerbangan untuk laluan tertentu.

Dengan aset sedia ada seperti lapan pesawat turboprop ATR 72-500 dan enam pesawat DHC- 6-400 Twin Otter, AirBorneo akan terus menjalankan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Hal ini adalah untuk memasti­kan kawasan pedalaman seperti Bario, Ba’kelalan dan Marudi, serta projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) di Bebuling, Betong dan Kapit, sentiasa terhubung dengan ban­dar-bandar utama dalam masa yang singkat.

Sebagai ‘jambatan’ penting, AirBorneo perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Ia memainkan peranan besar dalam meng­hubungkan sektor pelancongan, kesihatan, perniagaan, pen­didikan dan pertanian yang giat diusahakan oleh kerajaan Sarawak.

Dalam sektor pelancongan contohnya, jika prasarana di pusat tumpuan pelancong seperti Taman Negara Mulu, Kampung Budaya Sarawak dan destinasi aktiviti lasak dipertingkatkan dengan kemudahan moden dan perkhidmatan berkualiti, pengala­man pelancongan akan menjadi lebih selesa dan menarik.

Selain itu, pengenalan kepada kepelbagaian budaya di kam­pung-kampung berupaya menarik lebih ramai pelancong untuk merasai keunikan yang dita­warkan. Dengan promosi yang berkesan, jumlah pengunjung berpotensi meningkat, sekali gus memperkukuh peranan AirBorneo sebagai pemangkin utama dalam industri pelancongan negeri.

Secara tidak langsung, ia akan merancakkan industri perniagaan dan perusahaan dengan mewu­judkan lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing serta memperkukuh jarin­gan perdagangan domestik dan antarabangsa.

Dengan keterhubungan udara yang lebih baik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mendapat akses lebih luas kepa­da pasaran luar.

Pusat perubatan dan kesihatan yang semakin berkembang di Sarawak juga berpotensi menarik pelancong perubatan dari negara jiran seperti Indonesia dan Bru­nei.

Kos rawatan yang kompetitif dan kepakaran perubatan yang semakin meningkat menjadi­kan Sarawak destinasi rawatan pilihan.

Keadaan ini akan dapat merangsang industri pelanco-ngan perubatan, meningkatkan aliran pelancong asing dan menyumbang kepada per­tumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan penggunaan perkhidmatan hospitaliti dan logistik.

Selain itu, usaha kerajaan Sarawak untuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) akan memberi impak jang­ka panjang terhadap alam sekitar dan industri penerbangan.

Peng­gunaan SAF bukan sahaja mem­bantu mengurangkan pelepasan karbon, malah boleh menjadikan kos operasi lebih rendah.

Dengan ini ia boleh mem­berikan AirBorneo kelebihan daya saing dalam menawarkan perkhidmatan yang lebih premium dalam harga yang berpatutan.

Bagi memastikan kelangsu-ngan dalam industri penerba-ngan, kerajaan Sarawak juga membangunkan institusi penga­jian tinggi khusus dalam bidang penerbangan seperti akademi penerbangan dan program latihan khas.

Inisiatif ini bukan sahaja mem­bantu melahirkan juruterbang, jurutera penyelenggaraan pesa­wat dan profesional penerbangan lain, tetapi juga membolehkan Sarawak mengurangkan keber­gantungan kepada tenaga kerja luar.

Dengan ada tenaga kerja tem­patan yang mahir dan terlatih, operasi AirBorneo dapat ber­jalan dengan lebih efisien serta memastikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan selamat kepa­da para penumpang.

Perkara ini dapat membole­hkan tenaga mahir tempatan dibangunkan secara berterusan. Langkah ini bukan sahaja men­gukuhkan daya saing industri penerbangan, malah turut mem­buka peluang kepada Sarawak untuk menjadi hab latihan pener­bangan di rantau ini.

Rakyat Sarawak seharusnya terus bersama dan menyokong sepenuhnya AirBorneo bagi memastikan ia terus dapat mem­buka peluang yang banyak untuk manfaat rakyat itu sendiri.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Saingan Boeing, Airbus bukti kehebatan teknologi
Next: Mendarat cemas atas air lebih berisiko berbanding atas tanah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.