
KUCHING: AirBorneo melancarkan aplikasi mudah alih rasminya sebagai langkah mempertingkat pengalaman perjalanan pengguna melalui pendekatan digital yang lebih mesra dan mudah digunakan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira berkata, pelancaran aplikasi itu merupakan langkah awal dalam pelan jangka panjang digital syarikat bagi mentransformasikan industri penerbangan serantau.
“Platform ini akan menjadi pemacu kepada rangkaian perjalanan yang lebih bersepadu, membolehkan pengguna melakukan perjalanan dengan lebih lancar termasuk ke laluan perkhidmatan udara luar bandar,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan media AirBorneo, aplikasi tersebut kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store, sekali gus menandakan peralihan penting ke arah pengalaman perjalanan berteraskan digital.
Menurut kenyataan, aplikasi berkenaan menawarkan tiga fungsi utama iaitu tempahan penerbangan, daftar masuk mudah alih serta akses kepada rekod perjalanan lengkap bagi memudahkan pengguna mengurus itinerari mereka.
AirBorneo kini mengendalikan 21 destinasi di Sarawak dan Sabah termasuk laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang menghubungkan komuniti pedalaman.
Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri itu ditubuhkan susulan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd pada 31 Disember 2025 dan beroperasi dengan armada terdiri daripada pesawat ATR 72-500 serta DHC-6-400 Twin Otter.
Oleh Shahrul Qaizat