KUCHING: AirBorneo hari ini melakar sejarah melancarkan penerbangan sulungnya dari Kuching ke Kuala Lumpur.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan antara penumpang penerbangan sulung itu, MY5005, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1.20 tengah hari ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan itu menandakan perluasan operasi AirBorneo ke Semenanjung Malaysia menggunakan pesawat Boeing 737-800 susulan pengambilalihan operasi MASwings Sdn Bhd oleh syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu pada 1 Januari tahun ini.
Menerusi ucapannya pada majlis pelancaran penerbangan tersebut, Abang Johari menyifatkan syarikat penerbangan itu sebagai ‘jambatan’ penting yang menghubungkan Sarawak di pulau Borneo dengan seluruh dunia.
“Ketika Jepun membina semula negara itu selepas perang, satu daripada langkah strategik pertamanya adalah menubuhkan Japan Airlines. Seperti Sarawak, Jepun adalah sebuah pulau, jadi kesalinghubungan sangat penting.
“Selepas menubuhkan syarikat penerbangan kebangsaannya, Jepun menjadi sebuah negara perindustrian dan maju mendahului banyak negara Asia yang lain.
“Pengajaran daripadanya adalah kita perlu menghubungkan ekonomi kita dengan dunia dan rakan dagang kita. Kita mesti mempunyai rangkaian logistik kita sendiri yang melaluinya kita boleh mengeksport barangan dan perkhidmatan kita,” katanya.
Pada 7 Julai, AirBorneo mengumumkan penjualan tiket untuk laluan Kuching–Kuala Lumpur, yang menawarkan perkhidmatan dua kali sehari antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Terminal 1 KLIA.
AirBorneo menetapkan tambang sehalanya pada RM375 bagi Kelas Ekonomi dan RM736 untuk Kelas Perniagaan, termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api. – Bernama




