
KUCHING: Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo menjalin kerjasama strategik dengan IBM Malaysia Sdn Bhd bagi membangunkan penyelesaian data dan automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan memulakan operasi komersial pada 2026.
Kerjasama itu turut disokong oleh SALIHIN Digital sebagai rakan perniagaan, dengan tumpuan kepada pembangunan sistem digital bersepadu bagi memastikan operasi lebih cekap, berskala dan berorientasikan data.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian berkata, syarikat itu komited untuk memanfaatkan teknologi AI dalam meningkatkan pengalaman pelanggan serta memperkukuh keupayaan operasi penerbangan.
“Ketika kami bersiap sedia untuk memulakan operasi jet pada Julai 2026, visi kami adalah untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar serta memperkukuh hubungan serantau ke Sabah dan Sarawak.
“Melalui kerjasama ini, kami memanfaatkan AI daripada interaksi pelanggan pintar hingga kepada pengoptimuman operasi penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Melalui kerjasama itu, AirBorneo akan melaksanakan sistem IBM webMethods Hybrid Integration dan IBM Cloud Pak for Integration yang membolehkan automasi serta integrasi pelbagai proses perniagaan, aplikasi dan aliran data dalam ekosistem operasinya.
Pengurus Besar Negara dan Ketua Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo berkata, pembinaan syarikat penerbangan bertaraf dunia memerlukan asas digital pintar yang mampu menjangka keperluan penumpang serta meningkatkan kecekapan operasi.
Sementara itu, Pengarah Penyelesaian Kelestarian dan Tadbir Urus Moden, SALIHIN Digital, Mohd Sheeril Azri berkata, kerjasama tersebut mencerminkan kekuatan perkongsian strategik dalam memacu transformasi digital industri penerbangan.
Pembangunan industri penerbangan dilihat sebagai komponen penting dalam ekonomi digital Sarawak dengan AirBorneo memainkan peranan utama dalam meningkatkan kesalinghubungan, menarik pelaburan serta membuka peluang ekonomi baharu.
Langkah itu juga sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menggandakan saiz ekonominya daripada RM136 bilion kepada RM282 bilion, sekali gus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keterangkuman sosial dan menyokong pembangunan mampan jangka panjang.