

jenis turboprop (Janaan AI semata-mata)
KUCHING: Syarikat penerbangan baharu Sarawak, AirBorneo, akan memulakan operasi awal tahun depan menggunakan pesawat turboprop sebelum beralih kepada pesawat jet menjelang Julai 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelancaran AirBorneo merupakan langkah penting dalam memperkukuh rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa negeri, sekali gus menyokong agenda pembangunan sektor pelancongan serta ekonomi baharu Sarawak.
Menurutnya, Kerajaan Singapura telah bersetuju untuk menerima kemasukan AirBorneo dan laluan itu akan menjadi destinasi antarabangsa terawal selepas syarikat tersebut memulakan operasi jet pertengahan tahun depan.
“Pada Julai, AirBorneo akan memulakan operasi jet. Selain Singapura, kita juga mahu membuka laluan ke Jeju, Korea Selatan.
“Jeju ialah sebuah pulau yang diiktiraf UNESCO Global Geopark dan apabila kita juga mendapat pengiktirafan sama, kita boleh menghubungkan geopark dengan geopark,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Korporat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sempena sambutan 53 Tahun Legasi, Inovasi, Pertumbuhan dan Kelestarian, di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.

Abang Johari menjelaskan bahawa pembukaan laluan ke Pulau Jeju bukan sekadar peluasan destinasi, tetapi sebahagian daripada strategi lebih besar menghubungkan Sarawak dengan rangkaian geopark dunia.
Menurut beliau, hubungan penerbangan terus antara dua destinasi geopark itu berpotensi mewujudkan segmen pelancongan berimpak tinggi, termasuk pelancongan berkualiti, aktiviti golf, serta produk alam semula jadi yang menjadi tarikan utama Jeju dan Sarawak.
“Jika Jeju menerima ramai pelancong sebagai geopark antarabangsa, kita juga mahu mereka datang ke Sarawak. Ini membuka pasaran baharu yang lebih premium,” katanya.
Beliau menambah bahawa laluan itu juga akan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pintu masuk pelancongan serantau, terutamanya dalam usaha mempromosikan landskap semula jadi negeri termasuk Gunung Mulu, Taman Negara Bako dan kawasan geologi lain yang memiliki nilai konservasi global.
Selain itu, kerajaan turut merancang menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya ke Damai dan Mulu, selain meningkatkan kemudahan hospitaliti seperti padang golf, bagi melancarkan pergerakan pelancong serta mengurangkan kebergantungan kepada jadual penerbangan, sekali gus menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi negeri.
Oleh SHAHRUL QAIZAT