
SARAWAK mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki syarikat penerbangan milik kerajaan negeri, hasil pengambilalihan penuh terhadap MASwings dari Malaysia Aviation Group (MAG) pada 12 Februari 2025.
Langkah strategik ini menyaksikan penjenamaan semula MASwings kepada AirBorneo, merupakan simbol penting kepada aspirasi negeri untuk meneroka dan membina industri baharu, membuka peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, sekali gus menampung keperluan domestik dan memperkukuh kemajuan industri pelancongan dan logistik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan bahawa AirBorneo bukan sahaja akan memfokuskan perkhidmatannya kepada laluan domestik di Sarawak dan Sabah, malah akan diperluas kepada destinasi dalam lingkungan negara-negara ASEAN dan Asia Timur seperti Thailand, Jepun, Korea Selatan, malah negara di Eropah seperti Jerman.
Pendekatan ini menunjukkan wawasan Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebagai hab penerbangan serantau dan pintu masuk ke Asia Tenggara.
Pemilikan aset strategik
Pengambilalihan MASwings adalah sebahagian daripada siri usaha kerajaan Sarawak yang lebih luas untuk mendapatkan kawalan terhadap aset strategik.
Aspek ini termasuklah pengambilalihan hak pengedaran gas dari Petronas dan pemilikan pelabuhan serta kenaikan pegangan saham dalam Affin Bank Bhd.
Pemilikan terhadap sektor penerbangan membuka ruang kepada Sarawak untuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dalam menentukan dasar udara dan akses pengangkutan awam.
AirBorneo bakal memberikan Sarawak kuasa menentukan laluan penerbangan domestik dan serantau yang strategik bagi kepentingan rakyat, terutamanya kawasan luar bandar yang selama ini kurang mendapat liputan syarikat penerbangan komersial utama.
Melalui kawalan penuh terhadap syarikat ini, Sarawak dapat menyelaraskan dasar pengangkutan udara dengan agenda pembangunan negeri.
Menjana pelaburan dan pendapatan baharu
Pelancaran AirBorneo dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi negeri.
Pertama, ia membuka pintu kepada peningkatan pelaburan dalam sektor pelancongan, logistik, dan penyelenggaraan pesawat.
Sekiranya industri ini diperkukuhkan maka, Sarawak boleh mengambilalih sektor penyelenggaraan pesawat, membangunkan sektor Pendidikan Vokasional dan Latihan Teknikal (TVET) yang menjadi keperluan masa depan negeri dan negara.
Malah kepakaran yang dibina boleh dieksport atau graduan yang terhasil mampu bekerja di pusat perdagangan dunia termasuk di Dubai.
Pada masa kini University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) berperanan besar dalam membina modal insan sektor ini dan mempunyai graduan yang bekerja dalam dan luar negara.
Maka, kolej dan universiti di Sarawak perlu memanfaatkan industri penerbangan ini agar sejajar dengan keperluan negeri Sarawak.
Lapangan terbang baharu
Usaha Sarawak membina sebuah lapangan terbang baharu di Tanjung Embang yang dijangka siap pada 2032, sebagai sebahagian daripada pelaburan besar, akan memacu pertumbuhan ekonomi tempatan dan meningkatkan nilai hartanah di sekitarnya.
Selain itu, peningkatan ketibaan pelancong — yang telah mencatatkan 4.83 juta pada 2024 dan dijangka mencecah 5 juta pada 2025 — menunjukkan potensi besar sektor pelancongan sebagai pemacu ekonomi.
Peningkatan akses udara melalui AirBorneo akan memperkukuhkan rantaian nilai pelancongan termasuk penginapan, makanan dan minuman, kraftangan tempatan serta sektor perkhidmatan berkaitan.
Peluang pekerjaan dan pemindahan kepakaran
Langkah memindahkan ibu pejabat MASwings dari Kota Kinabalu ke Sarawak bukan sahaja memberi makna simbolik tetapi membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak tempatan.
Aspek ini melibatkan pelbagai bidang seperti kejuruteraan penerbangan, pengurusan lapangan terbang, operasi syarikat penerbangan, pramugara dan pramugari, serta pengendalian kargo.
Dengan operasi penuh AirBorneo dijangka bermula menjelang 2026, ia memberi tempoh yang cukup kepada kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan dalam industri penerbangan melalui latihan teknikal, kerjasama dengan institut pengajian tinggi dan syarikat OEM antarabangsa seperti Comac (Commercial Aircraft Corporation of China), Avions de Transport Regional (French), Boeing, Airbus dan Embraer.
Perkongsian strategik ini boleh membawa kepada pemindahan teknologi dan pembangunan industri aeroangkasa tempatan, yang bakal menjadi sektor baharu dalam ekonomi Sarawak.
Tadbir urus dan kelestarian perniagaan
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberi peringatan bahawa kejayaan AirBorneo bergantung kepada tadbir urus korporat cekap dan pengurusan kewangan yang telus.
Beliau merujuk kepada kejayaan syarikat seperti Singapore Airlines yang membuktikan bahawa kejayaan bukan sahaja bergantung pada modal, tetapi juga kecekapan operasi, pelaburan bijak dan kakitangan berkualiti.
Dengan itu, AirBorneo perlu mengelakkan perangkap birokrasi dan ketirisan.
Pengurusan tambang yang kompetitif dan fleksibel, serta penyantunan pelanggan yang cemerlang akan menentukan kelangsungan syarikat ini dalam pasaran yang kompetitif.
Potensi Sarawak sebagai hab serantau
Langkah menjadikan Sarawak sebagai hab penerbangan serantau bukan sekadar impian kosong.
Dengan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, negeri ini berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi penghubung antara Asia Timur dan Asia Tenggara.
Lapangan terbang baharu di Tanjung Embang dijangka menjadi pintu masuk utama bukan sahaja untuk pelancong malah juga bagi aktiviti perdagangan udara dan kargo.
Sarawak juga berpotensi menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat-pesawat di rantau ini, satu industri bernilai tinggi yang mampu menjana ribuan pekerjaan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
Kesimpulan
Pemilikan AirBorneo oleh kerajaan Sarawak adalah satu langkah berani yang menggambarkan hasrat untuk membina kuasa ekonomi baharu yang selama ini tertumpu di peringkat Persekutuan.
Jika diuruskan dengan cekap dan strategik, AirBorneo bukan sahaja menjadi alat pengangkutan, malah pemangkin kepada transformasi ekonomi Sarawak ke arah negeri maju dan berdikari.
Namun, kejayaan ini menuntut kepimpinan politik yang bijaksana, pelaburan berterusan dalam modal insan, serta komitmen kepada ketelusan dan akauntabiliti.
AirBorneo bukan sekadar satu syarikat penerbangan – ia adalah simbol kebangkitan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu di negara ini dan ASEAN.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UniversitiMalaya (UMCEDEL).