
TANJUNG MANIS: Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak iaitu AirBorneo mula beroperasi tahun depan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata sasaran awal adalah untuk membawa masuk pelancong dari Korea dan Jepun ke Sarawak.
“Langkah ini akan merancakkan ekonomi tempatan melalui pelancongan makanan, budaya dan alam semula jadi,” katanya berucap menutup acara Safari Memancing Tanjung Manis 2025 di Terminal Ekspress Tanjung Manis, hari ini.
Kerajaan Sarawak pada 12 Februari lalu telah memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.
Pengambil alihan syarikat itu adalah usaha memperkukuh rangkaian penerbangan serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Sebelum ini, Premier Sarawak menegaskan bahawa tiket penerbangan AirBorneo, tidak akan terlalu mahal.
Dalam ucapan pada majlis penangguhan itu, Abang Johari berkata Tanjung Manis akan menjadi tumpuan ‘gelombang kedua’ pembangunan ekonomi Sarawak.
Katanya, Tanjung Manis sudah mempunyai laluan penghubung untuk orang luar atau pelancong iaitu menerusi Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman.
“Bermakna, Tanjung Manis dah ada laluan untuk orang datang… bermakna kita dapat merancang pembangunan.
“Kali ini saya membuat ‘gelombang kedua’ pembangunannya supaya Kuala Rajang, Tanjung Manis dan seluruh kawasan delta menjadi tumpuan untuk kita membangun sektor pemakanan dan sektor pelancongan,” katanya.

Katanya, Belawai, Kuala Rajang dan seluruh Tanjung Manis akan dijadikan sebagai tarikan.
“Sebab itu saya katakan, Belawai dan Hawaii namanya dekat-dekat…kalau ada Hawaii, kita di Sarawak ada Belawai untuk kita bangunkan dengan hotel, inap desa, padang golf dan lapangan terbang,” katanya.
Abang Johari turut menyatakan bahawa Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah mengenal pasti Tanjung Manis sebagai lokasi utama penanaman nanas berskala besar.
“LPNM jumpa saya dan minta supaya mereka boleh menanam nanas di kawasan Tanjung Manis. Mereka hendak menanam secara besar-besaran nanas di Sarawak dan telah mengenal pasti Tanjung Manis.
“Buah nanas ini akan diproses melalui proses hiliran nanas, sekali gus menjana lebih banyak pendapatan dan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan,” katanya.
Tambahnya, tanah gambut yang luas serta hutan bakau di Tanjung Manis adalah penyerap karbon yang bernilai, menjadikannya tapak utama bagi perdagangan karbon global.
Oleh Earl Anek