KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) tampil membantu meringankan beban kos perjalanan pelajar dengan menyertai inisiatif FLYsiswa yang menawarkan baucar digital subsidi penerbangan bernilai RM400.
Inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) itu membolehkan pelajar Malaysia yang layak menerima subsidi tiket penerbangan domestik kelas ekonomi antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin, berkata penyertaan syarikat dalam FLYsiswa mencerminkan komitmennya untuk menyokong kebajikan pelajar yang terpaksa berjauhan daripada keluarga bagi melanjutkan pengajian.
“Pendidikan memerlukan fokus, dedikasi dan ketenangan fikiran. Justeru, kos penerbangan tidak seharusnya menjadi halangan kepada pelajar untuk meluangkan masa bersama keluarga.
“AirBorneo berharap penyertaan dalam inisiatif itu dapat meringankan beban kewangan pelajar serta keluarga mereka, selain membolehkan pelajar pulang ke kampung dengan lebih mudah dan berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan AirBorneo, pelajar yang layak terdiri daripada mereka yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (UA), politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).
Baucar digital RM400 itu boleh ditebus ketika membuat tempahan penerbangan melalui laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih AirBorneo selepas pelajar menyemak kelayakan menerusi portal rasmi MOT.
Tempoh penebusan baucar bagi penerbangan AirBorneo bermula dari 11 Ogos hingga 30 November 2026, manakala tempahan tersebut boleh digunakan untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2026.
Selain subsidi berkenaan, AirBorneo turut menyediakan kemudahan khas kepada pelajar FLYsiswa, termasuk elaun bagasi tambahan serta pilihan untuk menukar tarikh penerbangan secara percuma atau pada kadar diskaun.
Penyertaan itu turut memberi pelajar akses kepada destinasi domestik utama dan hab serantau di Sarawak, Sabah serta Semenanjung Malaysia menerusi rangkaian penerbangan AirBorneo.
Oleh Masrin Affirah





