
PETRA JAYA: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, mengesahkan bahawa AirBorneo akan mengambil alih keseluruhan tenaga kerja MASwings.
Ini, jelasnya, termasuk juruterbang dan jurutera, bagi memastikan kelancaran operasi perkhidmatan udara luar bandar.
“Semua kakitangan sedia ada akan dikekalkan kecuali mereka yang memilih untuk tidak menyertai AirBorneo selepas peralihan syarikat selesai.
“Dari segi operasi, AirBorneo akan mengekalkan semua pesawat MASwings yang kini beroperasi di bawah perjanjian sewa dengan rancangan jangka panjang untuk menambah pesawat baharu bagi memenuhi keperluan pasaran.
“Untuk memperkukuh perkhidmatan udara luar bandar, AirBorneo akan mengekalkan fokus pada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) bagi memastikan akses penerbangan di kawasan pedalaman tidak terjejas,” katanya.
Kim Shin berkata demikian pada majlis sidang media Kesedaran Keselamatan Jalanraya sempena sambutan Aidilfitri 2025 di Bilik Mesyuarat Aras 7, Kementerian Pengangkutan, Bangunan Baitulmakmur 1 di sini, hari ini.
Berhubung pelan pengembangan ke pasaran ASEAN, AirBorneo, Kim Shin, mengesahkan bahawa pihaknya bakal mula mengkaji keperluan pesawat jarak sederhana selepas semua lesen dan kelulusan diperoleh.
“Pada masa ini, syarikat juga sedang meneliti kemungkinan menyewa pesawat baharu sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjangnya untuk memperluaskan rangkaian penerbangan serantau.
“Dalam usaha meningkatkan kecekapan armada, AirBorneo merancang untuk menggantikan pesawat ATR lama dengan model ATR 600 baharu selepas tempoh pajakan semasa tamat dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Bagaimanapun, keputusan mengenai penggantian pesawat Twin Otter masih belum dimuktamadkan, dengan pihak pengurusan menyatakan bahawa perbincangan lanjut akan dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat,” jelasnya.
Kim Shin turut menyatakan bahawa AirBorneo kini dalam proses mendapatkan kelulusan rasmi untuk menukar nama, yang merupakan langkah penting sebelum syarikat memulakan fasa pengembangan operasinya.
“Melalui pengambilalihan ini, AirBorneo dijangka memainkan peranan penting dalam memperkasakan perkhidmatan udara di Sarawak dan Sabah, sambil merancang untuk memperluaskan operasi ke peringkat serantau pada masa hadapan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah