
VILNIUS: Syarikat penerbangan Latvia, airBaltic akan mengawalkan waktu berlepas bagi dua penerbangan mulai 20 November susulan beberapa insiden melibatkan belon digunakan untuk penyeludupan yang menjejaskan operasi di lapangan terbang Lithuania, lapor Xinhua.
Jurucakap syarikat itu memberitahu Baltic News Service (BNS) pada Rabu bahawa keputusan berkenaan diambil bagi mengurangkan risiko operasi serta memastikan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai.

Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, operasi di Lapangan Terbang Vilnius telah beberapa kali digantung, manakala Lapangan Terbang Kaunas turut terjejas sekali, berikutan penampakan belon penyeludupan yang menjejaskan lebih 160 penerbangan serta lebih 22,000 penumpang. Kebanyakan gangguan berlaku pada waktu malam, khususnya selepas pukul 8 malam waktu tempatan.
Mulai 20 Nov, penerbangan dari Krakow akan tiba di Lapangan Terbang Vilnius pada 5.40 petang waktu tempatan – berbanding selepas tengah malam ketika ini – manakala penerbangan dari Munich akan tiba pada 6.55 petang, lebih awal daripada jadual asal 10.15 malam.
Sekatan ruang udara di lapangan terbang Lithuania telah menjejaskan kira-kira 20 penerbangan airBaltic dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut syarikat itu kepada BNS.- Bernama-Xinhua