KUALA LUMPUR: Dalam perjalanan domestik dan industri pelancongan mula meningkat semula, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, AirAsia mencatatkan tanda-tanda pemulihan yang baik selepas terjejas berikutan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan berkata, walaupun perjalanan mungkin sukar, syarikat penerbangan itu akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelanggan selain menyusun semula keutamaan perniagaannya daripada perjalanan kepada perniagaan yang berkaitan dengan penggunaan tempatan.
Sejak penularan pandemik itu, AirAsia telah melancarkan perniagaan seperti Ourshop, pasaran e-dagang; Ourfarm, platform e-dagang untuk membantu menghubungkan petani secara langsung dengan perniagaan; dan Ourfood, penyelesaian yang lancar dan berpatutan untuk pelanggan dan pemilik restoran.
“Berdasarkan realiti baharu yang kita hadapi, keutamaan AirAsia.com ialah mengekalkan trajektori pertumbuhan dalam persekitaran ekonomi yang lembap.
“Perjalanan domestik akan menjadi pemacu utama kepada jualan sehingga sempadan dibuka semula dan sekatan kuarantin dilonggarkan. Ini juga merupakan peluang yang baik kepada AirAsia.com berikutan syarikat penerbangan memegang 73 peratus daripada bahagian pasaran Malaysia,” katanya kepada Bernama.
AirAsia telah bertahan selama 18 tahun dalam industri yang amat kompetitif dan menjadi peneraju dalam segmen syarikat penerbangan tambang rendah dengan menawarkan harga terbaik, jaringan ASEAN yang terbaik dan pengalaman pelanggan yang juga terbaik, katanya.
Chan berkata selepas tidak beroperasi selama hampir dua setengah bulan, dengan industri memasuki kitaran penggabungan, AirAsia akan meneruskan cadangan nilai terasnya, menawarkan nilai supaya pelanggan dapat menikmati perkhidmatan perjalanan dan produk gaya hidup pada harga yang tiada tandingan.
“Susulan AirAsia.com menjadi platform perjalanan dan gaya hidup paling pesat berkembang di ASEAN, kami menjangka pendapatan syarikat penerbangan kami akan stabil secara berperingkat berikutan pendapatan bukan syarikat penerbangan menjadi pemacu pertumbuhan yang utama dan keutamaan perniagaan kami.
“Oleh itu, kami tidak lagi bersaing hanya sebagai syarikat penerbangan yang membawa pelancong di seluruh ASEAN, kami akan menjadi ekosistem produk dan perkhidmatan yang terbaik, membolehkan pelancong ASEAN menikmatinya!,” katanya.- Bernama