Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • AirAsia X sasar lebih banyak destinasi penerbangan ke Asia Tengah
  • GLOBAL

AirAsia X sasar lebih banyak destinasi penerbangan ke Asia Tengah

Utusan Sarawak 3 days ago
PENERBANGAN… AirAsia X Bhd berhasrat untuk mengembangkan operasinya ke lebih banyak negara di Asia Tengah.

TASHKENT: AirAsia X Bhd berhasrat untuk mengembangkan operasinya ke lebih banyak negara di Asia Tengah berikutan sambutan menggalakkan terhadap laluan terbarunya ke Tashkent, Uzbekistan.

Syarikat penerbangan itu mencatat satu pencapaian baharu pada 15 Oktober, 2025 dengan pelancaran penerbangan sulungnya ke Tashkent, destinasi keduanya di Asia Tengah selepas Almaty, Kazakhstan, yang memulakan operasi pada 14 Mac, 2024 dan menyaksikan permintaan penumpang yang kukuh, khususnya daripada pengembara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata syarikat itu kekal optimis terhadap potensi pertumbuhan rantau berkenaan, sambil menyatakan Asia Tengah masih menawarkan banyak peluang yang belum diterokai.

“(Penerbangan ke) Uzbekistan, khususnya ibu kota Tashkent, merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk mengukuhkan kehadiran di Asia Tengah. Kira-kira setahun setengah yang lalu, kami memulakan operasi di Almaty, Kazakhstan dan laluan itu menunjukkan prestasi yang sangat baik.

“Saya terkejut dengan kejayaan (perkhidmatan penerbangan ke) Kazakhstan. Tarikan utamanya terletak pada aspek kemampuan kerana para pelancong dapat merasai pengalaman salji dan menikmati keindahan alam semula jadi yang menakjubkan seperti beberapa tasik terbesar di dunia, selain mudah mendapatkan makanan halal,” katanya kepada pemberita semasa lawatan pengenalan media dalam penerbangan sulung syarikat itu ke Tashkent.

Benyamin berkata AirAsia X kini terbang ke Tashkent sebanyak tiga kali seminggu dan menawarkan lebih daripada 82,000 tempat duduk setahun.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya permintaan terus meningkat, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk meningkatkan kekerapan kepada empat penerbangan seminggu menjelang tahun depan dan akan mempertimbangkan pengembangan selanjutnya jika momentum kukuh itu berterusan.

Beliau menambah kadar muatan penumpang untuk penerbangan ke Tashkent setakat ini agak tinggi, iaitu sekitar 70 peratus atau lebih, manakala kadar muatan bagi penerbangan keluar adalah sekitar 50 peratus.

Benyamin berkata ia merupakan petanda positif apabila dua kumpulan pelancong terbang ke Tashkent pada hari pelancaran, dengan hampir 200 penumpang telah membuat tempahan, menunjukkan penerbangan masuk terus mencatat prestasi yang baik.

Beliau juga berkata penerbangan sulung itu dijangka bukan sahaja merangsang sektor pelancongan, tetapi turut membuka peluang yang lebih luas dalam bidang perdagangan, pendidikan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan Uzbekistan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata AirAsia X akan melancarkan penerbangan sulungnya ke Istanbul pada 14 November, yang menandakan langkah pertama syarikat penerbangan itu menembusi pasaran Eropah.

“Jadi, untuk kami menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang terbang ke sana adalah sesuatu yang sangat bagus. Sehubungan itu, kadar muatan dijangka tinggi,” katanya.

AirAsia X secara rasmi memasuki pasaran Asia Tengah tahun lepas dengan melancarkan penerbangan terusnya ke Almaty, Kazakhstan, yang membawa 285 tetamu — mencatat kadar muatan 100 peratus untuk penerbangan sulung dari Almaty ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata sempena pelancaran berkenaan, ia turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak berkuasa pelancongan Uzbekistan untuk bekerjasama dalam promosi bersama dan program pertukaran bertujuan memperluas perjalanan dua hala serta mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun yang juga Pengarah Eksekutif AirAsia X berkata pelancaran bersejarah ini melambangkan jambatan yang merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan.

“Selaras dengan pengembangan kami ke Asia Tengah, AirAsia X berbangga dapat menyokong agenda pelancongan Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pencapaian ini menonjolkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam memperkukuh kesalinghubungan serantau dan membuktikan komitmen bersama kami untuk membuka laluan baharu dalam mempromosikan perjalanan mampu milik, pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya,” tambahnya.

-Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Angka kematian gempa bumi di Cebu meningkat kepada 76 orang
Next: Taufan Halong ragut 1 nyawa, lebih 1,500 orang dipindahkan di barat Alaska

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.