Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Airasia X nafi laporan Airasia Filipina digantung, operasi berjalan seperti biasa
  • BISNES

Airasia X nafi laporan Airasia Filipina digantung, operasi berjalan seperti biasa

Utusan Sarawak 4 hours ago
 
AIRASIA menerbangkan hampir tujuh juta penumpang di Filipina setiap tahun. Komitmen kami terhadap Filipina adalah mutlak.

KUALA LUMPUR: AirAsia X menafikan laporan media baru-baru ini yang mendakwa operasi AirAsia Filipina telah digantung.

“Laporan ini adalah palsu dan tidak mencerminkan keadaan sebenar perniagaan atau operasi syarikat penerbangan itu.

“Semua penerbangan kekal beroperasi sepenuhnya dengan penerbangan dan perkhidmatan diteruskan seperti yang dijadualkan di seluruh rangkaiannya, tertakluk kepada pertimbangan operasi biasa seperti keadaan cuaca dan faktor piawaian lain yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan,” menurut AirAsia X dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan media baru-baru ini menyatakan AirAsia berhutang dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) sekitar PHP271.94 juta untuk caj navigasi udara, pendaratan, parkir dan perkhidmatan penumpang yang terkumpul dari 2021 hingga Mei 2026.

CAAP masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan itu.

Pengasas Bersama dan Penasihat AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata AirAsia telah lama memperjuangkan perjalanan mampu milik dan berdiri teguh menentang sebarang perkembangan yang memudaratkan pengguna atau menyekat akses kepada ketersambungan udara.

“AirAsia menerbangkan hampir tujuh juta penumpang di Filipina setiap tahun. Komitmen kami terhadap Filipina adalah mutlak. Kami amat komited dalam melabur di negara itu, rakyatnya dan masa depannya,” kata beliau.

Fernandes juga berkata AirAsia telah memainkan peranan penting dalam mendemokrasikan perjalanan udara selama lebih sedekad. Ia telah menjadikan penerbangan mampu diakses oleh berjuta-juta rakyat Filipina dan jika bukan kerana AirAsia, rakyat negara itu mungkin tidak berpeluang untuk melakukan perjalanan udara sebelum ini.

“Kami amat komited dalam melabur untuk pembangunan infrastruktur lapangan terbang baharu di seluruh negara, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (MNL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu (CEB).

“Langkah ini akan membuka peluang pertumbuhan yang lebih besar, menambah baik ketersambungan, meningkatkan kecekapan operasi dan membolehkan kami mengurangkan kos dengan lebih banyak lagi,” kata beliau.

Beliau juga berkata syarikat penerbangan itu berhasrat untuk menempatkan lebih banyak pesawat untuk beroperasi di Filipina.

“Perkembangan ini akan membolehkan AirAsia Filipina memperluas rangkaiannya, menawarkan tambang yang jauh lebih kompetitif dan terus memberikan nilai yang lebih besar kepada pengembara Filipina,” tambah beliau.

Syarikat penerbangan itu menyatakan ia melihat laporan yang diselaraskan dan disensasikan itu sebagai sebahagian daripada kempen fitnah yang disengajakan dan telah lama berlaku untuk menjejaskan persaingan sihat dalam sektor penerbangan Filipina.

“Naratif seperti ini hanya memenuhi kepentingan pihak yang cuba mengehadkan pilihan pengguna dan mewujudkan keadaan yang boleh membawa kepada monopoli dalam pasaran,” jelas syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Ia menambah AirAsia Filipina kekal komited untuk berkhidmat kepada orang ramai, menyokong sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi serta memastikan setiap rakyat Filipina terus mendapat akses kepada perjalanan udara yang selamat, mampu milik dan boleh dipercayai. – Bernama

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Rupiah Indonesia jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.