KUCHING: AirAsia akan melancarkan penerbangan empat kali seminggu dari Singapura ke Sibu bermula 16 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pada masa ini, ada tujuh penerbangan setiap minggu dari Singapura ke Kuching dan tiga penerbangan seminggu dari Singapura ke Miri melalui Scoot Airlines.
“Selain itu, AirAsia telah memulakan penerbangan Singapura-Kuching (11 kali seminggu), dan Singapura-Miri (lima kali seminggu). AirAsia akan melancarkan penerbangan dari Singapura ke Sibu sebanyak empat kali seminggu bermula 16 Disember depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan membabitkan kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abdul Karim berkata, kementeriannya bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) untuk memastikan kekerapan penerbangan ditingkatkan secara beransur-ansur.
Katanya, kekerapan penerbangan ke Sarawak telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), iaitu 587 penerbangan seminggu ke Sarawak, dan hanya 408 penerbangan sedang beroperasi oleh syarikat penerbangan itu.
Daripada jumlah itu, kata beliau, kekerapan penerbangan antarabangsa dan domestik masing-masing adalah 35 dan 373.
Dalam pada itu, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) menyambung penerbangannya ke Kuching sebanyak dua kali seminggu bermula 1 Mei lalu.
“Bagi penerbangan domestik, Firefly memulakan laluan Pulau Pinang-Kuching sebanyak 14 kali seminggu dengan penerbangan sulung pada 11 April lalu.
“Selain itu, AirAsia telah menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching dan Miri dengan 63 penerbangan dan 21 penerbangan seminggu.
“Penerbangan Kota Kinabalu ke Kuching pula tujuh penerbangan seminggu dan juga Kota Bharu ke Kuching sebanyak tiga minggu penerbangan. MAS juga terbang dari Johor Bahru ke Kuching sebanyak tiga kali seminggu,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN