PUTRAJAYA: AirAsia komited untuk melancarkan lebih banyak penerbangan antarabangsa ke destinasi menarik tahun ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, kata Pengarah Urusan Datuk Kapten Fareh Mazputra.
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada sasaran syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi meningkatkan akses ke negara-negara yang mempunyai destinasi pelancongan yang menarik.
“Kami teruja untuk melancarkan lebih banyak laluan antarabangsa baharu tahun ini kerana permintaan sangat memberangsangkan terutamanya di Asean.
“Sasaran kita lepas pandemik COVID-19 ialah untuk mengaktifkan laluan destinasi antarabangsa bagi membawa pelancong dari Asia dan global untuk mereka meneroka destinasi-destinasi yang menarik,” katanya kepada pihak media di majlis sambutan penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo baru-baru ini.
Mengulas penerbangan sulung ke Labuan Bajo, Fareh berkata laluan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan AirAsia ke Indonesia sebanyak 28 penerbangan seminggu.
“Tetapi kita sedang menunggu untuk lebih banyak lagi. Sambutan untuk penerbangan sulung ini amat menggalakkan. Ia masih baharu dan masih memerlukan banyak kerja dari segi promosi,” katanya.
Berdasarkan rekod, penerbangan terus antara Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Labuan Bajo adalah tiga kali seminggu menggunakan pesawat A320.
Syarikat penerbangan tersebut menawarkan tambang istimewa termasuk semua serendah RM179 sehala.
Sementara itu, Menteri Penasihat (Urusan Ekonomi) Kedutaan Besar Indonesia ke Malaysia Hendra P Iskandar berkata kerjasama erat dalam sektor pelancongan antara Malaysia dan Indonesia akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa bagi mengeratkan hubungan dua hala.
Beliau berkata penerbangan terus yang diperkenalkan oleh AirAsia menjadikan syarikat penerbangan tambang rendah itu sebagai syarikat luar yang pertama mendaratkan kapal terbang di Lapangan Antarabangsa Komodo selepas lapangan terbang itu dijenamakan pada 2 April, 2024.
“Ini merupakan kardo (hadiah) bagi kemerdekaan Indonesia pada 13 Ogos dan Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos. Ini menunjukkan kerjasama konkrit antara negara serumpun,” katanya.
Mengenai sasaran kemasukan pelancong ke Indonesia, Hendra berkata Indonesia menyasarkan kedatangan pelancong seramai 1.7 juta pada tahun lepas dan ia telah melepasi sasaran iaitu 1.9 juta.
“Tahun ini kita sasar 2.7 juta wisata (pelancong) yang datang namun tidak termasuk wisata dengan penerbangan AirAsia ke Labuan Bajo,” katanya.
Bagi mencapai sasaran berkenaan, Hendra berkata langkah promosi perlu giat dijalankan khususnya dalam program seperti Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024.
“Kita akan lakukan promosi yang lebih kerap dalam apa-apa program promosi pelancongan seperti MATTA Fair. Ini yang akan kita lakukan dan ia merupakan kerjasama saudara serumpun,” katanya sambil menambah untuk turut mempromosikan penerbangan terus AirAsia ke Labuan Bajo di MATTA Fair.
MATTA Fair yang diadakan bermula hari ini sehingga 8 Sept ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) merupakan acara tahunan dan menjadi tumpuan utama bagi pengembara di seluruh negara.– BERNAMA