
KUCHING: Hasrat rakyat Sarawak dan Kalimantan Barat untuk kembali berhubung melalui udara akhirnya tercapai apabila penerbangan terus Kuching–Pontianak disambung semula oleh syarikat penerbangan AirAsia, susulan pemulihan status antarabangsa Lapangan Terbang Supadio di Pontianak.
Menteri Pengangkutan, Dato Lee Kim Shin, menyifatkan perkembangan itu sebagai satu pencapaian penting dalam usaha merapatkan kembali hubungan serumpun yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan penurunan sementara status lapangan terbang tersebut kepada domestik.
“Pemulihan laluan udara ini bukan sekadar soal kemudahan perjalanan. Ia adalah langkah strategik untuk memperkukuh hubungan antara rakyat, kerjasama ekonomi, serta mobiliti serantau antara Sarawak dan Kalimantan Barat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, kementeriannya telah secara konsisten telah menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi merealisasikan semula sambungan rentas sempadan ini.
Pada September 2024, beliau sendiri mengetuai delegasi kerja ke Pontianak dan Singkawang, termasuk menyerahkan permohonan rasmi bagi memulihkan laluan penerbangan Kuching–Pontianak.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, khususnya Konsul Jeneral Raden Sigit Witjaksono, atas sokongan padu dan peranan penting dalam membuka ruang dialog antara kedua-dua pihak.
“Laluan ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh warga Sarawak, malah turut mendapat permintaan tinggi dari masyarakat Pontianak.
“Ia membuka peluang baharu untuk perdagangan rentas sempadan, pelancongan, serta aktiviti perniagaan kecil-kecilan,” jelasnya.
Dato Lee turut menekankan bahawa sambungan semula ini dijangka memberi impak positif kepada pelbagai pihak termasuk usahawan tempatan, agensi pelancongan, pengusaha pengangkutan dan komuniti sempadan yang selama ini bergantung pada pergerakan antara dua wilayah ini.
“Pelawat dari Kalimantan kini berpeluang kembali menikmati destinasi ekopelancongan Sarawak, mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan mengenali budaya kita dengan lebih dekat,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa terdapat enam bandar utama di Kalimantan yang mempunyai lapangan terbang, dan kerajaan Sarawak terbuka untuk meneroka laluan-laluan baharu selaras dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.
“Kami menyambut baik sebarang potensi kerjasama baharu dalam sektor pengangkutan. Perkembangan di Nusantara membuka ruang baharu untuk integrasi ekonomi dan hubungan udara.
“Kita akan terus bekerjasama erat dengan rakan-rakan di seberang bagi memperkukuh momentum ini,” katanya.