
KUCHING: Penerbangan Pontianak-Kuching yang disambung semula selepas lima tahun diyakini mampu merancakkan industri pelancongan Sarawak, khususnya pelancongan perubatan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, laluan itu akan membantu Sarawak mencapai sasaran lima juta pelawat pada tahun ini.
“Penerbangan ini memberi impak besar kepada industri pelancongan kita, terutamanya pelancongan perubatan. Sambutan sangat menggalakkan apabila penerbangan pagi ini penuh dan begitu juga penerbangan yang masuk ke Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Pembukaan Semula Laluan Pontianak-Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

AirAsia (kod penerbangan AK) melancarkan dua laluan terus baharu ke Pontianak dari Kuala Lumpur dan Kuching, sekali gus mengukuhkan rangkaiannya antara Malaysia dan Indonesia serta memperkukuh kesalinghubungan serantau dan pertumbuhan ekonomi.
Penerbangan AirAsia ini menandakan perkhidmatan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Supadio, Pontianak, selepas status antarabangsanya dibuka semula pada Jun 2025.
Menurut Snowdan, selain memudahkan pergerakan, laluan udara ini turut melengkapkan akses darat yang sebelum ini digunakan pelancong dari Indonesia untuk ke Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia kerana membuka semula laluan berkenaan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kita berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan demi kepentingan pelancongan kedua-dua pihak,” tambahnya.
Oleh Amanda L