

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd telah mengumumkan gangguan penerbangan masuk dan terbang dari Bali, Lombok serta Labuan Bajo berikutan letusan Gunung Lewotobi di Wilayah Nusa Tenggara, Indonesia.
Syarikat penerbangan itu melalui satu kenyataan berkata penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia (AK), AirAsia Indonesia (QZ) dan AirAsia x Malaysia (D7) telah dibatalkan atau dijadualkan semula sejak hari ini.
“Keadaan cuaca tidak menentu dan tetamu AirAsia yang pergi ke/dari destinasi yang terjejas diminta untuk menyemak status penerbangan terbaharu mereka di aplikasi AirAsia MOVE serta pemberitahuan melalui e-mel mengenai sebarang perubahan atau kemas kini.
“AirAsia komited untuk membantu para tetamu pada masa ini dan ia telah memberitahu semua pelanggannya yang terjejas melalui e -mel serta perkhidmatan mesej pendek (SMS) mengenai status penerbangan dan opsyen pemulihan mereka,” katanya.
Sementara itu, AirAsia akan terus memantau aktiviti gunung berapi Lewotobi dan akan mengemas kini penasihat perjalanannya dengan menyambung semula operasi normal.
‘Syarikat penerbangan itu berusaha untuk memastikan para tetamu dapat meneruskan perjalanan mereka dengan selamat pada penerbangan yang akan datang,” katanya lagi.– BERNAMA