BINTULU: Beberapa rumah panjang di kawasan Serupai mengalami gangguan bekalan air bersih menjelang sambutan Hari Gawai, sekali gus menjejaskan persiapan penduduk untuk perayaan tersebut.
Sebagai langkah segera, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, dengan kerjasama agensi berkaitan, telah menggerakkan bantuan khidmat ihsan bagi membekalkan air bersih kepada kediaman yang terjejas, baru-baru ini.
“Bantuan ini merupakan sebahagian daripada usaha awal untuk memastikan penduduk dapat membuat persiapan Gawai dalam keadaan yang selesa dan selamat,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat khidmat tersebut.
Difahamkan, pemantauan berterusan akan dijalankan dan bantuan susulan akan disalurkan berdasarkan keperluan semasa.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa terhadap kesejahteraan komuniti luar bandar, khususnya dalam memastikan sambutan perayaan utama masyarakat Dayak tidak terjejas akibat isu asas seperti gangguan bekalan air.
Oleh Carolyne Utih