Awal bulan September lepas, sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, Serian yang diketuai oleh Philip Enong telah mengadakan ekspedisi menjelajah kawasan air terjun Wong Telanjing, Sri Aman.
Tujuan utama ekspedisi berkenaan diadakan adalah untuk mewujudkan kembali nostalgia ketika menuntut di bangku sekolah dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah di sekitar air terjun Wong Telanjing tersebut.
Menerusi artikel ringkas termasuk foto yang dikongsi oleh RUI Photography kepada Utusan Sarawak, kumpulan bekas pelajar itu mempunyai sebab untuk memilih air terjun Wong Telanjing, Sri Aman sebagai destinasi pilihan mereka untuk ekspedisi tahun ini.
Pertamanya adalah keindahan yang terdapat di sekitar air terjun Wong Telanjing. Bagi kumpulan bekas pelajar berkenaan, kehijauan hutan dan kebersihan air terjun Wong Telanjing masih terpelihara sehingga sekarang.
Menurut mereka, peminat aktiviti jelajah hutan dan pencinta alam sekitar mungkin boleh menjadi air terjun Wong Telanjing sebagai lokasi ekspedisi mereka jika mempunyai waktu terluang pada tahun ini.
Manakala itu sebab kedua bagi kumpulan itu pula mungkin agak menyeramkan. Jika diteliti nama air terjun berkenaan, ‘Wong’ bererti air terjun manakala ‘Telanjing’ pula bererti pontianak atau hantu perempuan atau jelmaan kijang.
Beberapa penduduk ketika ditemui oleh kumpulan berkenaan mendakwa bahawa air terjun Wong Telanjing ini masih ‘keras’ dan menyimpan kisah dan misterinya yang tersendiri sehingga sekarang.
“Menurut penduduk dari kampung berdekatan, air terjun Wong Telanjing mendapat namanya kerana ia menjadi tempat makhluk halus seperti pontianak untuk mandi pada suatu masa dahulu.
“Kisah ini menyebabkan kami semakin berminat untuk menjelajah air terjun Wong Telanjing sehingga ekspedisi ini dibuat bagi mengisi aktiviti pertemuan semula bekas pelajar SMK Balai Ringin,” kata salah peserta tunggal wanitanya, Sharonica Diliu.
Sebelum memulakan pergerakan ke air terjun Wong Telanjing, kumpulan ekspedisi berkenaan terlebih dahulu telah berhimpun di Kampung Sebemban, Pantu yang merupakan kampung terdekat dengan lokasi tersebut.
Kesemua mereka sebelum ini telah memohon bantuan penduduk untuk melakukan upacara ‘miring’ bagi memohon kebenaran dan keberkatan daripada ‘penghuni’ air terjun tersebut sebelum ekspedisi boleh dimulakan ke situ.
“Perjalanan ke air terjun Wong Telanjing amat memerlukan kesabaran dan ketahanan fizikal yang tinggi memandangkan kita haruslah meredah danau, anak sungai dan kaki bukit tanpa jejak denai yang jelas untuk sampai ke lokasi berkenaan.
“Kumpulan kami misalnya memerlukan masa selama dua jam 30 minit untuk tiba di lokasi itu…perjalanan sukar ini menyebabkan kami letih namun percayalah sebaik sahaja anda tiba di air terjun Wong Telanjing maka rasa keletihan itu akan hilang,” kata Sharonica.
Sebaik sahaja tiba, wanita tersebut bersama dengan 12 orang rakan peserta yang lain segera bertindak mendirikan khemah sebelum memulakan aktiviti riadah di sekitar air terjun Wong Telanjing berkenaan sekitar waktu tengahari.
“Pada waktu malam pula, kumpulan kami telah berhimpun di unggun api untuk memperingati semula nostalgia menuntut di SMK Balai Ringin selain berkongsi kisah pengalaman yang lain.
“Kami juga ada merancang untuk melakukan aktiviti menangkap ikan serta udang di sungai pada waktu malam namun disebabkan hujan dan limpahan air sungai yang deras maka aktiviti itu harus dibatalkan,” kata Sharonica.
Kumpulan ekspedisi berkenaan menikmati suasana malam yang tenang dan indah di air terjun Wong Telanjing sebelum mereka memulakan aktiviti mandi manda di lokasi itu sebelum berangkat pulang ke Kampung Sebemban.
“Saya dan rakan-rakan kumpulan yang lain berasa amat bersyukur kerana dapat menikmati suasana keindahan air terjun Wong Telanjing tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini di situ.
“Justeru adalah menjadi harapan kami agar lokasi air terjun Wong Telanjing tidak dicemari dengan pelbagai aktiviti hutan agar kekal menjadi ‘hidden gems’ dalam negeri ini untuk pengemar sukan lasak dan pencinta alam sekitar dari masa ke semasa,” kata Sharonica.
Kumpulan berkenaan telah bertindak mengabdikan kenangan mereka ke air terjun Wong Telanjing di situ denga memuat naik sebahagian ekspedisi video tersebut di laman web Youtube Channel SD Daily, Nadez Phillip dan BC Bearing.
Oleh Valentine Ngumbang