Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • UMUM
  • Air terjun Lata Kinjang, nadi kehidupan orang asli
  • UMUM

Air terjun Lata Kinjang, nadi kehidupan orang asli

Utusan Sarawak 1 day ago
AIR terjun Lata Kinjang yang juga antara tertinggi di Asia Tenggara, membentuk pemandangan ikonik di Lebuhraya Utara-Selatan, bagaikan menggamit pengguna lebuh raya itu agar singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Foto Bernama

TAPAH: Melata dari ketinggian kira-kira 850 meter, air terjun Lata Kinjang yang juga antara tertinggi di Asia Tenggara, membentuk pemandangan ikonik di Lebuhraya Utara-Selatan, bagaikan menggamit pengguna lebuh raya itu agar singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Tapah, air terjun bertingkat ini yang mengalir deras dari puncak Banjaran Titiwangsa, bagaimanapun bukan sekadar menambah keindahan panorama alam, tetapi lebih daripada itu bagi komuniti Orang Asli suku Semai yang mendiami kawasan tersebut sejak hampir seabad lalu.

Menurut  Rani Ulin, Tok Batin Kampung Orang Asli Lata Kinjang, air terjun itu menjadi nadi utama kelangsungan komunitinya sejak berpindah ke situ pada 1930-an.  

“Sejak turun-temurun, banyak aktiviti kami bertumpu di kawasan lata itu. Kami kumpul hasil hutan, bercucuk tanam, menangkap ikan dan memanfaatkan pelbagai sumber alam yang ada di sekitar air terjun.

“Sudah masuk empat generasi, air terjun ini tetap menjadi nadi kehidupan kami. Selagi terus melata indah, begitulah juga semangat kami,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

PEMANDANGAN air terjun Lata Kinjang yang merupakan lokasi tumpuan pelawat yang berkunjung disini ketika tinjauan Bernama di Taman Eko-Rimba tersebut baru-baru ini. Foto Bernama

Berkongsi cerita tentang asal-usul nama air terjun itu, Rani, 53, berkata ‘lata’ bermaksud air terjun sementara “kinjang” merujuk haiwan kijang, mencerminkan keharmonian alam sekitar di situ yang hingga kini kekal terpelihara walaupun hanya sepelaung daripada arus kemodenan bandar raya Ipoh.

Kini dikenali sebagai Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Rani berkata sejak Februari 2022, kawasan itu diuruskan sepenuhnya oleh penduduk setempat menerusi Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) yang turut menawarkan pekerjaan kepada 25 penduduk kampungnya.

“Kami sangat gembira kerana dapat beri peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di sini. Mereka tidak perlu lagi merantau keluar untuk mencari rezeki, sebaliknya boleh menabur jasa dan membangunkan kampung halaman sendiri.

“Bukan hanya membuka peluang pekerjaan, malah kami semakin yakin untuk bersaing dalam sektor pelancongan. Ini menjadi pemangkin besar kepada ekonomi kampung kami,” katanya, menambah KOALKB turut meraih Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Perak dalam sektor pelancongan bagi 2025.

PEMANDANGAN air terjun Lata Kinjang yang merupakan lokasi tumpuan pelawat yang berkunjung disini ketika tinjauan Bernama di Taman Eko-Rimba tersebut baru-baru ini. Foto Bernama

Rani yang juga Setiausaha KOALKB, berharap usaha komuniti itu akan terus mendapat sokongan daripada semua pihak berkepentingan, agar Lata Kinjang kekal sebagai khazanah alam yang dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang. 

“Kami mahu anak-anak muda di sini terus bangga dengan tanah warisan mereka. Selagi kami mampu memelihara keindahan dan khazanah Lata Kinjang, selagi itu ada peluang untuk generasi akan datang menikmati serta memanfaatkannya.

“Kami harap pelancong dan semua pihak yang datang ke sini akan bersama-sama memelihara alam sekitar ini. Pembangunan itu penting tapi keseimbangan dan kelestarian alam ialah kunci untuk Lata Kinjang terus memberi manfaat pada masa depan,” katanya.

-Bernama

Tags: umum

Continue Reading

Previous: Azalina, Ewon hadiri upacara pengebumian Paus Francis

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.