

KOTA SAMARAHAN: Walaupun kebanyakan peniaga lebih cenderung menerima tempahan biskut moden untuk Aidilfitri, Mis Chek, 53, tetap teguh mempertahankan warisan kuih tradisional.
Menurutnya, kuih cap dan rempeyek bukan sekadar juadah raya, tetapi juga sebahagian daripada nostalgia yang semakin sukar ditemui.
“Tidak semua orang minat kuih moden, mungkin ada yang rindu rasa kuih tradisional yang semakin sukar didapati dalam arus modenisasi ini.
“Biskut moden dah ramai orang buat, jadi saya pilih untuk terus buat kuih lama yang tak ramai tahu cara membuatnya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Setiap kali menjelang Ramadan, dapurnya bukan sekadar tempat memasak untuk keluarga, tetapi berubah menjadi ‘kilang mini’ untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mencari kuih tradisional.
“Kalau biskut moden, banyak orang buat. Bagi rempeyek dan kuih cap ni pula, kalau tak ada yang teruskan, lama-lama hilang.
“Jadi, saya terus buat sebab masih ada yang mencari dan kuih ini bukan sekadar warisan yang dipertahankan, malah menjadi punca pendapatan utama saya.
“Tanpa pekerjaan tetap, saya bergantung sepenuhnya kepada jualan kuih ini untuk menyara kehidupan. Kalau tak buat kuih, saya tak ada pendapatan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjual kuih dalam dua bentuk iaitu bungkusan kecil dan tin balang.
“Pada hari biasa, rempeyek dan kuih cap dijual dalam bungkusan kecil pada RM3, RM6, dan RM10. Namun, apabila musim perayaan tiba, permintaan dalam tin balang meningkat.
“Rempeyek dijual pada RM80 dan kuih cap RM60 jika tin disediakan oleh saya. Jika pelanggan membawa tin sendiri, harga rempeyek turun kepada RM70 manakala kuih cap RM50.
“Walaupun bekerja seorang diri, saya mampu menyiapkan sekitar 50 bungkus kuih sehari untuk bungkusan RM10. Jika menggunakan tin balang, saya boleh menghasilkan enam hingga tujuh tin sehari,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa permintaan meningkat mendadak pada Ramadan, membolehkan beliau memperoleh lebih RM1,000 hasil jualan.
“Namun, saya memilih untuk tidak mengambil tempahan terlalu banyak kerana tiada pembantu tetap. Kadang-kadang anak dan cucu ada tolong kalau mereka ada masa lapang.
“Resipi yang digunakan adalah turun-temurun dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Saya guna daun kari, daun limau purut, santan dalam bancuhan, dan campuran udang kering. Itu yang buat rasanya lebih sedap dan istimewa.
“Pelanggan kata rasa tak pernah berubah, masih sama dari dulu dan tetap berkualiti,” ujarnya dengan bangga.
Sementara itu, beliau menyatakan bahawa dahulu beliau hanya mempromosi jualan melalui Facebook, tetapi kini tidak lagi perlu berbuat demikian kerana sudah mempunyai pelanggan tetap.
“Saya bertekad untuk teruskan membuat kuih tradisional selagi mampu. Bukan semua orang tahu buat kuih ni, kalau saya berhenti, makin kuranglah yang jual.
“Kuih tradisional seperti kuih cap dan rempeyek mungkin semakin sukar ditemui dalam dunia yang semakin moden ini. Namun, saya berusaha mengekalkannya supaya generasi kini masih berpeluang menikmati rasa nostalgia yang pernah menghiasi meja-meja raya suatu ketika dahulu,” tambahnya.
OLEH MASRIN AFFIRAH

