BESUT: Terengganu sangat sinonim dengan keindahan pulau-pulau peranginan, pantai yang cantik sepanjang 244 kilometer (km) serta tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara iaitu Tasik Kenyir.
Namun, masih ramai tidak menyedari terdapat satu lagi lokasi pelancongan tersembunyi yang sangat istimewa untuk dikunjungi tatkala menjengah ke Terengganu iaitu Kolam Air Panas La yang terletak di Hulu Besut.
Terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari bandar raya Kuala Terengganu dan 28 km dari pusat bandar terdekat iaitu Jerteh, kunjungan ke Kolam Air Panas La pasti meninggalkan memori terindah buat sesiapa sahaja yang datang ke lokasi tersebut.
Tidak sepopular pulau peranginan lain yang menjadi tumpuan di Terengganu, Kolam Air Panas La sebenarnya agak terkenal dalam kalangan penduduk setempat serta negeri jiran, Kelantan yang sering datang untuk beriadah bersama keluarga dan sahabat selain menikmati air panas semula jadi yang dipercayai penuh ‘khasiat’ di kawasan itu.
Tinjauan Bernama ke Kolam Air Panas La mendapati turut tersedia beberapa kemudahan khusus untuk pelancong bermalam iaitu chalet, restoran, surau, tandas dan tiga kategori kolam mengikut suhu kepanasan berbeza.
Seorang pengunjung, Azizi Mamat, 38, berkata, beliau sering ke situ untuk mendapatkan khasiat mandi air panas semula jadi kerana ia didapati berkesan dalam mengurangkan tekanan, melancarkan aliran darah dan menghilangkan lenguh badan.
“Melalui pembacaan saya, kajian sains juga membuktikan kandungan sulfur dan mineral semula jadinya sangat bagus untuk meredakan kesakitan saraf dan penyakit berkaitan kulit.
“Ada juga saya jumpa yang lumpuh separuh badan datang ke sini bersama keluarga mereka kerana air panas dikatakan bagus untuk membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan mereka,” katanya.
Seorang lagi pelancong, Khalilah Abd Rahim, 28, yang pertama kali mengunjungi Kolam Air Panas La meluahkan keterujaan kerana dapat merasai air panas semula jadi dalam suasan penuh ketenangan, jauh daripada kesibukan kota.
“Cuma saya berharap ruang mandi air panas yang dibina khas untuk pengunjung perempuan dapat dibaiki secepat mungkin kerana ia memberikan kami lebih privasi untuk meluangkan masa dengan lebih lama di sini,” katanya yang mengakui berasa sangat selesa di situ kerana kawasannya terjaga rapi dan bersih.
Pusat pelancongan itu yang lebih dikenali sebagai La Hot Spring telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena pelancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut ketika itu.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Mohd Rashdan Muda ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan peruntukan hampir RM859,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menambah baik kemudahan di lokasi pelancongan itu.
“Ia bertujuan melakukan kerja baik pulih dan naik taraf kemudahan yang sudah tidak sempurna akibat banjir serta meningkatkan aspek pencahayaan untuk kemudahan pengunjung mandi-manda pada waktu malam.
“Baru-baru ini, kita sudah menerima peruntukan sebanyak RM30,000 dari kerajaan negeri untuk membaiki tandas awam dan kita juga bercadang untuk menambah bilangan chalet dengan reka bentuk yang lebih menarik agar Kolam Air Panas La ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong ke Terengganu,” katanya.
Dengan slogan ‘Lokasi Percutian Semula Jadi Anda’, Mohd Rashdan berkata MDB akan terus mempromosi daerah itu yang kaya dengan keindahan alam semula jadi untuk dipilih sebagai destinasi pelancongan terkenal di Malaysia. – Bernama