

PASUKAN BOMBA… Menyelamatkan enam pelajar SM Citizen Middle School, Jalan Kong Yit Khim yang terperangkap akibat banjir yang melanda kawasan sekolah pada tengah hari tadi. Foto BBP Sibu Jaya
SIBU: Seramai enam pelajar Sekolah Menengah Citizen Middle School, Jalan Kong Yit Khim berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap akibat banjir yang melanda kawasan sekolah itu tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan pacuan empat roda dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya telah digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.27 petang.
Menurut Ketua Operasi, Winston Tan, kesemua mangsa terdiri daripada dua pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan yang tidak dapat meninggalkan kawasan sekolah selepas air naik secara mendadak.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati keenam-enam pelajar berada dalam keadaan selamat, namun terkandas dan memerlukan bantuan untuk keluar dari kawasan banjir,” katanya.
Operasi menyelamat dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4), dan semua pelajar dihantar ke bahu jalan yang selamat.
Operasi tamat pada 1.59 petang tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.