
Nunez (kiri) ketika mencurahkan minuman ke atas kepala Salah (tengah).
LONDON: Ketika kebanyakan pemain Liverpool sibuk meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), penyerang Darwin Nunez menyedari dia menjadi sasaran kritikan penyokong susulan tindakannya ke atas Mohamed Salah selepas Reds menewaskan Tottenham 5-1 yang mengesahkan gelaran liga ke-20, semalam.
Nunez kurang popular di Anfield sejak kebelakangan ini dengan penyokong mengkritik hantarannya di media sosial yang merungut mengenai minit permainan tetapi kemudian dipadamkan dengan segera.
Dia sekali lagi ditempatkan di bangku simpanan, tetapi dibawa masuk pada lewat babak kedua ketika melayan kunjungan Spurs.
Namun, gelagat dia ‘mengenakan’ Salah ketika meraikan kemenangan tular di media sosial selepas pemain Uruguay itu berlari ke arah bintang Mesir itu dan seolah-olah menuangkan alkohol ke atas kepala rakan sepasukannya.
Walaupun kedua-dua mereka dilihat tersenyum sesama sendiri selepas itu, penyokong dengan cepat mengecam penyerang itu kerana mencurahkan ‘alkohol’ ke atas Salah yang tidak meminumnya kerana beliau seorang Muslim.
Alkohol dilarang dalam agama Islam, dan ramai yang menegaskan perkara itu sambil mengkritik Nunez yang berusia 25 tahun.
Bagaimanapun, ternyata minuman tersebut sebenarnya bebas alkohol, membolehkan pemain seperti Salah meraikan kejayaan Liverpool tanpa terkena semburan minuman beralkohol daripada rakan sepasukan yang lain.
Pada perlawanan di Anfield itu, Nunez mengumpan bola kepada Salah untuk menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan tersebut, ketika penonton berharap dia sendiri dapat menjaringkan gol pertamanya di EPL sejak awal tahun ini.